Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tren Maglev China Pecah Rekod, Cecah 800km/j Dalam Hanya 5.3 Saat

MAGLEV
Kredit: AFP

Bayangkan sebuah tren seberat lebih satu tan memecut dari keadaan pegun sehingga mencapai kelajuan 800 kilometer sejam hanya dalam beberapa saat.

Lebih menarik, selepas memecut pada kelajuan luar biasa itu, tren berkenaan mampu berhenti secara terkawal tanpa membrek secara mengejut.

Itulah pencapaian terbaharu penyelidik China menerusi sebuah tren maglev eksperimen yang sekali lagi memecahkan rekod dunia bagi pecutan jarak dekat.

Menurut laporan The Independent, tren seberat 1.1 tan itu berjaya mencapai kelajuan 800 kilometer sejam dalam hanya 5.3 saat ketika ujian di landasan sepanjang satu kilometer di Donghu Laboratory, wilayah Hubei, China.

Namun, bukan kelajuan semata-mata yang mencuri perhatian.

Penyelidik turut berjaya menguji sistem membrek tren berkenaan sehingga ia dapat diperlahankan dan berhenti dengan lancar dalam jarak kira-kira 200 meter.

Macam mana tren boleh bergerak sepantas itu?

Jika tren biasa bergantung kepada roda yang bersentuhan dengan landasan, maglev atau magnetic levitation menggunakan daya magnet untuk mengangkat tren sedikit daripada permukaan landasan.

Keadaan itu mengurangkan geseran dan membolehkan tren bergerak pada kelajuan jauh lebih tinggi.

Pada masa sama, gegelung magnet yang dipasang di sepanjang landasan menghasilkan gelombang elektromagnet yang menolak tren ke hadapan.

Ringkasnya, tren ini bukan sekadar "bergerak atas landasan" tetapi seolah-olah terapung dan ditolak oleh medan magnet.

Bukan kali pertama pecahkan rekod

Menariknya, ujian terbaharu itu merupakan kali ketiga dalam tempoh enam bulan tren eksperimen sama memecahkan rekod pecutannya sendiri.

Pada Jun 2025, tren berkenaan mencapai kira-kira 650km/j dalam tujuh saat.

Kemudian, rekod itu ditingkatkan kepada sekitar 700km/j sebelum sekali lagi mencapai 798km/j, dengan tempoh pecutan yang semakin singkat.

Dalam setiap ujian, penyelidik menguji beberapa teknologi penting termasuk sistem bekalan tenaga berkuasa tinggi, pendorongan elektromagnet, kawalan levitasi pada kelajuan tinggi serta sistem membrek kecemasan.

800km/j bukan bermaksud boleh naik sekarang

Walaupun angka 800km/j kedengaran seperti masa depan pengangkutan awam, tren eksperimen tersebut belum direka untuk membawa penumpang pada tahap pembangunan semasa.

Teknologi berkenaan masih berada dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan.

Sebagai perbandingan, tren maglev komersial yang beroperasi di China dan Jepun kini bergerak sekitar 320km/j, manakala kereta api komersial berkelajuan tinggi China tertentu mampu mencapai sekitar 350km/j.

Penyelidik juga sedang mengkaji teknologi maglev ultra berkelajuan tinggi yang boleh beroperasi dalam tiub bertekanan rendah atau vakum.

Konsep itu berpotensi mengurangkan lagi rintangan udara dan membuka kemungkinan kepada sistem pengangkutan yang jauh lebih pantas pada masa depan.

Namun, perjalanan ke arah itu masih panjang.

Kos pembinaan infrastruktur yang sangat tinggi, keselamatan penumpang serta keperluan membina landasan yang amat tepat dan sejajar untuk jarak jauh merupakan antara cabaran utama.

Lebih menarik, penyelidik melihat teknologi pecutan ekstrem ini bukan semata-mata untuk tren.

Prinsip sama berpotensi dikembangkan kepada sistem pelancaran roket dan teknologi penerbangan berkelajuan tinggi pada masa hadapan.

Jadi, 800km/j dalam 5.3 saat mungkin bukan sekadar rekod.

Ia boleh menjadi salah satu langkah awal kepada cara manusia bergerak yang jauh berbeza daripada hari ini.

Intipati
  • Tren maglev eksperimen China mencapai 800km/j dalam 5.3 saat di Hubei.
  • Sistem membrek turut diuji, membolehkan tren berhenti lancar dalam kira-kira 200 meter.
  • Teknologi itu masih peringkat penyelidikan dan belum direka untuk membawa penumpang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan