Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trend Baharu, Ramai Pilih Tinggalkan Telefon Pintar Sebulan Untuk Jalani 'Detoks Digital'
Dalam dunia yang serba moden ini, telefon pintar dianggap sebagai salah satu alat komunikasi yang penting untuk berhubung antara satu sama lain.
Selain dari hanya sekadar berkomunikasi, telefon pintar juga menjadi salah satu peranti untuk mencari maklumat, mencari arah dan membeli belah.
Dalam erti kata lain, walaupun hanya sebuah peranti yang kecil, segalanya mampu dilakukan dengan hanya satu klik.
Tapi, pernahkah anda terfikir, apa yang akan jadi sekiranya kita berehat dari menggunakan telefon pintar itu dalam tempoh masa yang lama?
Mungkin bagi kebanyakan orang, telefon pintar adalah segala-galanya. Namun, bagi sesetengah yang lain pula, menggunakan telefon dalam tempoh masa yang lama akan mengganggu rutin harian mereka.
Oleh itu, satu eksperimen telah dilakukan oleh sekumpulan golongan muda berusia 20-an hingga 30-an di Washington, Amerika Syarikat.
Mereka mengambil langkah dengan menukar telefon pintar dengan telefon biasa.

Perkara ini juga dikatakan telah menjadi satu amalan baru bagi golongan muda di Amerika Syarikat yang ingin melepaskan diri dari kesan negatif media sosial.
Seorang pemuda yang turut menyertai cabaran Month Offline yang dianjurkan oleh sebuah syarikat di Washington, Jay West, 29, berkata, dia sering mendapati dirinya selalu mencari telefon pintar di dalam poket sementara menunggu bas tiba.
Dia yang juga merupakan seorang penganalisis data untuk sistem metro di bandar itu berkata, perasaan tanpa telefon bimbit sememangnya membosankan, namun dia tetap ingin mencuba.
Seorang lagi peserta, Rachael Schultz, 35, berkata, dia terpaksa bertanya arah kepada penunggang basikal kerana tidak lagi bergantung kepada telefon.
Sementara itu, Lizzie Benjamin, 25 turut kembali mendengar lagu menggunakan CD lama yang dirakam oleh bapanya.
"Sebelum ini, saya menggunakan aplikasi seperti Spotify untuk mendengar lagu," katanya.
Manakala Bobby Lomis, 25, turut memberitahu bahawa sebelum ini, dia sukar untuk menonton satu episod rancangan tanpa memerika telefon pintarnya.
Kini, walaupun tanpa telefon pintar dan fon telinga, dia mampu menikmati bunyi burung berkicau ketika bersiar-siar.
Bukan itu sahaja, penggunaan skrin hariannya juga turut menurun daripada enam jam ke empat jam, iaitu kira-kira selari dengan purata penggunaan dalam kalangan orang dewasa di Amerika Syarikat.
Para saintis juga sebenarnya telah lama memberi amaran bahawa ketagihan telefon pintar berkait rapat dengan penurunan tahap tumpuan, masalah tidur dan juga kebimbangan.
Masalah kebimbangan ini makin mendapat perhatian apabila pada Mac lalu, sebuah mahkamah di California memutuskan platform seperti Instagram, YouTube boleh dipertanggungjawabkan atas sifat ketagihan yang wujud dalam perkhidmatan mereka.
Satu tinjauan juga telah dilakukan oleh YouGov pada tahun lalu dan hasil mendapati lebih dua pertiga individu yang berusia 18 hingga 29 tahun menyatakan keinginan untuk mengurangkan masa skrin mereka.
Oleh sebab itu, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi membantu usaha ini termasuklah detoks digital, peranti penyekat telefon serta komuniti di Washington, yang menganjurkan program detoks ini selama sebulan.
Di kampus universiti pula, amalan 'diet media sosial' selama beberapa minggu semakin popular, manakala aktiviti tanpa skrin bersama rakan-rakan juga mula menjadi trend di bandar-bandar besar.
Seorang penyelidik psikologi di Universiti Georgetown, Kostadin Kushlev berpendapat berhenti menggunakan telefon pintar walaupun untuk beberapa minggu boleh membawa kesan poitif.
"Misalnya, mampu memberikan ketenangan dan keupayaan mengekalkan fokus.
"Malah, kajian awal juga menunjukkan kesan ini boleh berterusan dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, Josh Morin, salah seorang penganjur program ini berpendapat bahawa sekadar menjauhkan diri daripada telefon tidak mencukupi.
"Sebaliknya, alternatif yang menarik perlu disediakan."
Program yang dianjurkan beliau merangkumi sesi perbincangan mingguan yang diadakan di sebuah bar karaoke di kawasan popular bandar tersebut, bagi menggalakkan interaksi sosial secara bersemuka.
“Untuk benar-benar mengubah tabiat itu, kita perlu menyediakan kehidupan sosial yang lebih bermakna dan menyeronokkan,” jelas Morin.
Namun begitu, inisiatif Month Offline yang dianjurkan ini bukanlah percuma. Sebaliknya, bayaran sebanyak $100 dikenakan kepada peserta yang merangkumi pinjaman telefon lipat dengan fungsi asas seperti panggilan, mesej dan aplikasi seperti Uber, yang diselaraskan dengan telefon pintar pengguna.
Setakat ini, syarikat pemula tersebut masih bergerak secara perlahan dengan sasaran untuk melepasi 1,000 pengguna menjelang Mei, namun para pakar melihatnya sebagai permulaan kepada trend yang lebih besar.
Profesor sejarah di Princeton University, Graham Burnett menyifatkan fenomena ini sebagai kemunculan satu gerakan yang autentik, seakan-akan kebangkitan gerakan alam sekitar pada tahun 1960-an yang akhirnya membawa kepada pelbagai dasar perlindungan alam sekitar.
Sementara itu, Kendall Schrohe, 23, yang bekerja di sebuah organisasi pemantau privasi digital, telah menamatkan detoks selama sebulan pada Januari lalu.
Kini, dia mampu bergerak di sekitar kawasan kejiranannya tanpa bergantung kepada Google Maps, malah telah memadam Instagram serta menubuhkan kumpulan sokongan detoks digitalnya sendiri.

“Saya melihatnya dari sudut yang optimistik, dan saya rasa ini hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar,” katanya.