Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR – Satu trend baharu melibatkan pinjaman wang tidak berlesen menggunakan iPhone sebagai cagaran kini dilihat semakin membimbangkan dan berpotensi mengancam keselamatan identiti serta privasi pengguna, khususnya golongan muda.
Menurut Ketua Unit Banteras Ahlong DM (Darul Mustaqqim Pusat Pengajian), Adam Mustapa @ AlongDM, pihaknya menerima hampir 50 aduan berkaitan modus operandi tersebut sejak kebelakangan ini.
Katanya, sindiket pinjaman tidak berlesen kini menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook dan aplikasi tertentu bagi menawarkan pinjaman mudah kepada orang awam dengan hanya menggunakan iPhone sebagai cagaran.
“Mangsa akan diminta untuk mengeluarkan Apple ID peribadi mereka dan memasukkan Apple ID milik ahlong ke dalam telefon tersebut sebagai syarat pinjaman. Ramai tidak sedar bahawa tindakan itu memberi akses penuh kepada pihak sindiket terhadap peranti mereka,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan membayar semula pinjaman akan menyebabkan iCloud mangsa dikunci dan telefon tidak lagi boleh digunakan oleh pemilik asal.
Lebih membimbangkan, pihak sindiket dipercayai berpotensi menyalahgunakan akses tersebut untuk mendapatkan data peribadi mangsa termasuk gambar, lokasi semasa dan maklumat hubungan dalam telefon.
“Antara risiko yang kami lihat ialah gambar mangsa boleh disunting dan disalahgunakan, nombor kenalan boleh dihubungi untuk memalukan mangsa berkaitan hutang, malah lokasi mangsa juga boleh dijejak melalui fungsi Find My iPhone,” katanya lagi.
Tambah beliau, golongan muda dan pelajar institusi pengajian tinggi antara paling mudah terjebak dengan skim tersebut.
Antara kes yang diterima pihak DM Perunding Ahlong melibatkan seorang pelajar IPTA lelaki berusia 21 tahun yang menggunakan iPhone 14 Pro Max sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman.
Selain itu, pihaknya turut menerima aduan daripada seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun dari sebuah IPTS di Sarawak serta seorang wanita berusia 30 tahun yang bekerja sebagai khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi.
Adam berkata, kebanyakan mangsa pada awalnya menyangka pinjaman tersebut mudah dan tidak berisiko kerana tidak melibatkan cagaran fizikal seperti motosikal atau barang kemas.
“Hakikatnya, apabila identiti digital dan akses telefon diserahkan kepada pihak ketiga, risiko keselamatan menjadi sangat tinggi. Ramai hanya sedar selepas mereka mula diugut atau telefon mereka dikunci,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pinjaman segera melalui media sosial atau aplikasi yang tidak sah.
DM (Darul Mustaqqim Pusat Pengajian) yang berpusat di ibu pejabat Sentul, Kuala Lumpur merupakan sebuah organisasi yang membantu mangsa ahlong dalam pengurusan pembayaran semula wang pinjaman berdasarkan jumlah sebenar yang diterima tanpa lebihan bayaran seperti bunga atau caj lewat.
Dalam masa yang sama, mangsa juga akan mengikuti kelas pengajian alQuran dan Fardhu Ain yang disediakan secara percuma dan terbuka kepada masyarakat umum sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan bimbingan.
“Tujuan utama kami bukan sekadar membantu dari sudut kewangan, tetapi juga memberi sokongan moral, kesedaran dan bimbingan supaya mereka dapat keluar daripada tekanan hidup dengan lebih baik,” katanya.