Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mencadangkan supaya Selat Hormuz dinamakan semula sebagai 'Selat Trump', meskipun laluan perairan penting itu masih menjadi pertikaian ketika perang dengan Iran berterusan, lapor AFP.
Ia merupakan cadangan terbaharu Trump dan dibuat seminggu selepas beliau mengarahkan Tasik Ontario dinamakan semula sebagai 'Tasik Amerika' ketika perang perdagangan dengan Kanada.
Cadang tukar Selat Hormuz ke Selat Trump
“Sekarang setelah ia berada di bawah kawalan AS, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada Selat Trump? Seperti Amerika sendiri, ia akan menjadi lebih ‘hangat’ berbanding sebelum ini!” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Imbas kembali, Trump turut menukar nama Teluk Mexico kepada 'Teluk Amerika' pada hari pertama beliau kembali memegang jawatan pada Januari 2025.
Bagaimanapun, Mexico dan Kanada tidak menerima perubahan nama tersebut.
Banyak cadangan pertukaran nama sebelum ini pada mulanya dilontarkan sebagai kenyataan yang kelihatan berseloroh oleh Presiden AS berusia 80 tahun itu, sebelum beliau kemudiannya mengambil langkah untuk merealisasikannya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump berulang kali mengemukakan ancaman untuk menuntut kedaulatan ke atas Selat Hormuz, malah pernah memuat naik peta yang menunjukkan laluan perairan itu sebagai wilayah baharu AS.
Namun, Iran secara efektif telah menutup laluan strategik tersebut, yang menjadi laluan kepada kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap perang yang dimulakan Trump bersama Israel pada penghujung Februari.
Sementara itu, harga minyak kembali meningkat selepas tentera AS melancarkan serangan baharu berhampiran Selat Hormuz pada Selasa sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa Trump sebagai usaha baharu Iran untuk memasang periuk api di kawasan berkenaan.
