Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tular Detik Tragis Tanah Runtuh Di China

tanah runtuh china
Gambar: Video viral

Tular Detik Tragis Tanah Runtuh Di China

Satu kejadian tanah runtuh yang menggemparkan berlaku di Daerah Pengshui, Chongqing, barat daya China, pada Jumaat.

Runtuhan batu dan tanah menghempap kawasan penempatan berhampiran sungai sehingga menimbus lebih 10 bangunan kediaman.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan detik mencemaskan apabila bongkah batu dan timbunan tanah meluncur deras dari lereng bukit ke arah kawasan perumahan.

Dalam rakaman tular, kelihatan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri ketika debu tebal menyelubungi kawasan kejadian sejurus runtuhan berlaku.

Menurut laporan NBC News, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.08 pagi waktu tempatan di Daerah Pengshui.

Lebih 10 bangunan tertimbus, mangsa masih dicari

Penyiar rasmi China, CCTV, melaporkan sekurang-kurangnya sembilan mangsa berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan.

Manakala, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan kerana dipercayai masih terdapat individu yang terperangkap.

Agensi berita Xinhua melaporkan sejumlah besar batu dan tanah menggelongsor dari lereng bukit sebelum menimbus lebih 10 bangunan kediaman di kawasan tersebut.

Bagi mempercepatkan operasi menyelamat, pasukan penyelamat menggunakan lebih 50 unit peralatan pengesanan, pencarian dan penyelamatan bagi mengesan mangsa yang masih tertimbus.

Rakaman yang disiarkan CCTV turut menunjukkan sebahagian lereng gunung runtuh ke kawasan penempatan. Manakala, anggota penyelamat gigih mengorek timbunan batu dan tanah untuk mencari mangsa.

Hujan lebat dipercayai jadi punca kejadian

Beberapa keping gambar dari lokasi turut memperlihatkan bongkah batu bersaiz besar menggelongsor di sisi bangunan bertingkat sebelum jatuh ke kawasan sungai berhampiran.

Dua bangunan yang dianggarkan setinggi lima dan 15 tingkat dilaporkan mengalami kerosakan, namun masih berdiri.

Pihak berkuasa percaya kejadian itu berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan tanah menjadi tidak stabil.

Tanah runtuh tersebut berlaku berhampiran Sungai Wujiang, sebuah kawasan yang terkenal dengan bentuk muka bumi batu kapur (karst), pekan-pekan kecil dan kawasan pertanian bertingkat.

Lebih 8,000 barangan bantuan dihantar ke lokasi

Sebagai langkah bantuan kecemasan, pihak berkuasa China telah menghantar lebih 8,000 barangan bantuan bencana ke Chongqing. Ini termasuk khemah, katil lipat dan kit kecemasan untuk kegunaan mangsa yang terjejas.

Setakat ini, jumlah sebenar individu yang masih terperangkap belum dapat dipastikan. Manakala, operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh pihak berkuasa.

Sumber:NBC News