Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Walaupun sudah berkali-kali diingatkan, masih ada segelintir pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing, khususnya dari Singapura, yang dilihat cuba mengisi petrol RON95 bersubsidi.
Namun begitu, ada juga pihak yang berani tampil menegur bagi mengelakkan penyalahgunaan bahan api bersubsidi tersebut.
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang pekerja stesen minyak yang menegur seorang individu dipercayai warga Singapura ketika cuba mengisi RON95.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok oleh pengguna @zacharoy_, kelihatan sebuah kenderaan jenis Audi Q5 bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak Petron di Taman Sri Andalas, Klang.
Bagaimanapun, tindakan itu disedari oleh pekerja stesen minyak berkenaan yang kemudian segera menegur pemandu terbabit.
Malah, pekerja itu turut dilihat menarik keluar nozzle berwarna kuning yang digunakan sebelum meletakkannya semula pada pam.
Dalam video sama, pekerja tersebut turut dilihat bercakap sesuatu sambil menunjukkan ke arah nombor pendaftaran kenderaan berkenaan, dipercayai bagi menjelaskan larangan penggunaan RON95 untuk kenderaan asing.
“Pemandu warga Singapura ditangkap isi RON95 di Selangor,” tulis pemilik akaun berkenaan pada ruangan kapsyen.
Rakaman tersebut yang meraih lebih 614,000 tontonan turut dikongsikan semula di Threads dan mendapat perhatian ramai.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji tindakan berani pekerja stesen minyak itu kerana tegas menguatkuasakan peraturan.
Dalam masa sama, ada juga yang mengecam tindakan pemandu kenderaan premium itu yang didakwa cuba mengambil kesempatan menggunakan bahan api bersubsidi.
Tidak kurang juga yang berpendapat pihak Petron wajar memberi penghargaan kepada pekerja terbabit atas sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan.