Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tular Situasi Banjir Di Beberapa Kawasan Di Perlis
Bila tiba hujung tahun, antara kebimbangan rakyat Malaysia semestinya musim tengkujuh yang lazim berlaku di beberapa kawasan, khususnya di Semenanjung Malaysia.
Kini, tular di media sosial beberapa rakaman yang menunjukkan kawasan tertentu sudah dinaiki air banjir.
Dalam video yang dikongsikan, kelihatan air melimpah ke jalan raya termasuk laluan utama, selain memasuki rumah serta premis perniagaan. Penduduk juga dilihat menyelamatkan barangan penting dan kenderaan peribadi masing-masing.
Antara kawasan yang dilihat terjejas teruk adalah di Perlis.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Untuk makluman, Malaysia mengalami dua rejim monsun setiap tahun, dan salah satunya ialah MTL yang sinonim dengan tempoh November hingga Mac.
Musim MTL merupakan musim hujan utama negara. Sistem cuaca ini terbentuk bersama-sama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri-negeri pantai timur Semenanjung iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak dan Sabah di Malaysia Timur.
Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.
Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.
Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju ke Asia Tenggara.
Dari semasa ke semasa, ledakan udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah dan pusaran siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.
Sebelum Musim Monsun
Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.
Semasa Musim Monsun
Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
BACA: Jangan Sesekali Tanya Atau Beritahu ChatGPT 5 Perkara Ini
BACA: Ramai Buat, 5 Tabiat Buruk Ni Sebenarnya Boleh ‘Rosakkan’ Otak
BACA: 10 Tanda ‘Amaran’ Awal Anak Alami Tekanan Mental
Sumber: METMalaysia