Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa sikap ‘kuku besi’ dan usaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menguasai sepenuhnya Perikatan Nasional (PN) semakin jelas susulan pengguguran Radzi Jidin dan Azmin Ali daripada jawatan utama gabungan itu.
Menurut Tun Faisal, langkah yang diumumkan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar malam tadi disifatkan sebagai sebahagian daripada “permainan politik kotor” PAS untuk melemahkan kedudukan Bersatu dalam struktur kepimpinan gabungan berkenaan.
“Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam PAS yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut.
“Hasrat ini telah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin tertentu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tun Faisal berkata, beberapa kenyataan daripada anggota Lajnah Undang-undang PAS serta jentera parti turut memberi gambaran ke arah itu.
Menurut beliau, ia termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi (MT) PN untuk menekan Bersatu, selain mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan.
Terdahulu, Ahmad Samsuri mengumumkan khidmat Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Azmin selaku Timbalan Setiausaha Agung ditamatkan serta-merta menerusi penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu.
Langkah tersebut dibuat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Tun Faisal mendakwa pengguguran kedua-dua pemimpin itu turut mengubah keseimbangan undi dalam MT PN sekiranya berlaku pengundian melibatkan parti-parti komponen.
Katanya, sebelum ini PAS dan Bersatu masing-masing mempunyai enam wakil dalam MT PN, namun susunan baharu kini memberi kelebihan kepada PAS untuk memperoleh sokongan majoriti dengan bantuan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Beliau turut mempersoalkan keperluan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN bagi tujuan memperkukuh organisasi gabungan tersebut.
Menurutnya, sebelum ini kepimpinan PN tidak menunjukkan kesungguhan dalam menangani konflik dalaman atau menggerakkan persiapan pilihan raya.
“Kasar permainan politik PAS ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor PAS.
“Kalau bukan pendekatan ke‘Mullah’an dan ke‘Talibanan’, mungkin pegangan Machiavellian, yang mana matlamat menghalalkan cara,” dakwanya.
Bagaimanapun, Tun Faisal menegaskan Bersatu kekal komited untuk mempertahankan gabungan PN.
“Tapi, saya pun harap rakan-rakan dalam PAS juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan ‘Kluster Publika’ ini dari dalam,” katanya.