Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Tunggu Nanti 3 Julai Apa Yang PH Nak Tawar Kepada Rakyat Johor, Jangan Terkejut” - Dr Zaliha

PH
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa

“Tunggu Nanti 3 Julai Apa Yang PH Nak Tawar Kepada Rakyat Johor, Jangan Terkejut” - Dr Zaliha

Pakatan Harapan (PH) Johor memberi bayangan bakal tampil dengan tawaran yang dijangka mengejutkan rakyat negeri itu menerusi pelancaran manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jumaat ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, manifesto tersebut sudah dimuktamadkan selepas mengambil kira keperluan sebenar rakyat di negeri itu.

Menurutnya, setiap tawaran yang dirangka bukan sekadar teliti di atas kertas, malah boleh dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran.

“Perkara ini kena diteliti baik-baik, sebab itulah insya-Allah PH Johor dah bersedia dan 3 Julai ini kita akan lancarkan manifesto.

“Kepada Datuk Zahari Sarip, tunggu nanti 3 Julai apa yang PH nak tawarkan kepada rakyat Johor, jangan terkejut,” katanya dalam satu wawancara sempena PRN Johor yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, tawaran yang bakal diumumkan itu mempunyai asas kukuh dan dirangka berdasarkan keperluan semasa rakyat Johor.

Katanya, matlamat utama manifesto berkenaan adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta membawa pembaharuan yang lebih menyeluruh kepada negeri itu.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Sekijang itu turut membidas Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa masih banyak manifesto parti itu yang belum berjaya dilaksanakan sehingga kini.

Menurut Dr Zaliha, rekod pentadbiran PH membuktikan kebanyakan janji yang dibuat sebelum ini berjaya ditunaikan dalam tempoh singkat.

“Saya pernah berada dalam Kabinet dan kita pantau satu persatu manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti komponen.

“Alhamdulillah, hasil pemantauan itu menunjukkan hampir semua janji dalam manifesto PH berjaya ditunaikan.

“Ini membuktikan dalam tempoh tiga tahun setengah, banyak perkara boleh direalisasikan dan tidak mustahil apa yang digariskan dalam PRN Johor kali ini juga boleh dilaksanakan,” ujarnya.