Penampilan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Johor Super Crown Polo Tournament 2026 (JSCPT 2026) mencuri perhatian peminat automotif apabila baginda hadir dengan menaiki sebuah Rolls-Royce Boat Tail.
Lebih menarik, jentera super mewah berkenaan dipercayai antara hanya tiga unit yang dihasilkan oleh Rolls-Royce, dengan anggaran harga melebihi RM100 juta, bergantung kepada spesifikasi dan tempahan khas.
Kemunculan Tunku Ismail menerusi video yang dimuat naik di Instagram insaneluxurylife itu turut menjawab persoalan peminat automotif mengenai identiti pemilik unit ketiga Rolls-Royce Boat Tail berkenaan.
Sebelum ini, dua lagi unit dilaporkan ditempah oleh bintang rap Jay-Z dan Beyoncé, manakala sebuah lagi dikaitkan dengan pemain bola sepak Argentina, Mauro Icardi.
Menerusi video yang ditonton lebih 2.5 juta kali, Tunku Ismail dilihat memandu sendiri jentera berkenaan sebelum diikuti konvoi beberapa kenderaan mewah.

Kemunculan Rolls-Royce Boat Tail di acara polo itu turut menjadi perhatian kerana ia dilihat cukup sepadan dengan imej Tunku Ismail dan kerabat Johor yang sememangnya diketahui mempunyai koleksi kenderaan mewah.
Rolls-Royce Boat Tail Bukan Kereta Biasa
Bagi yang tertanya-tanya mengapa jentera ini begitu mencuri perhatian, Rolls-Royce Boat Tail merupakan antara kenderaan paling eksklusif yang pernah dihasilkan jenama berkenaan.
Dengan panjang kira-kira 5.8 meter, reka bentuknya mengambil inspirasi daripada bentuk kapal layar mewah dan pembinaannya mengambil masa bertahun-tahun.
Dari segi kejuruteraan, Boat Tail menggunakan enjin V12 6.75 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan sekitar 563 kuasa kuda serta 900 Nm tork.
Sementara itu, JSCPT 2026 merupakan kejohanan polo antarabangsa berstatus 22 gol yang melabuhkan tirai semalam di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, Johor.

