Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Letusan Anak Krakatau: Abu Vulkanik Jejas Kawasan Kediaman Penduduk

Abu Vulkanik Jejas Kediaman
Kredit: Media Sosial

Letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia pada Jumaat hingga Ahad telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, bukan sahaja di negara itu, malah di negara-negara jiran.

Menurut laporan, abu vulkanik daripada gunung berapi berkenaan dilaporkan telah tersebar dari Bengkulu sehingga ke Jakarta.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan abu vulkanik itu terbahagi kepada dua arah.

Kredit: AFP

Sebaran pertama bergerak ke arah timur laut hingga selatan, meliputi sebahagian Jakarta, Banten dan Jawa Barat serta perairan sekitar.

Manakala sebaran kedua bergerak ke arah barat daya hingga barat laut, meliputi sebahagian Banten, Lampung, Bengkulu, selatan Selat Sunda serta Lautan Hindi.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) bagaimanapun mengesahkan letusan Gunung Anak Krakatau telah berakhir selepas berlangsung kira-kira 25 jam namun status gunung berapi itu kekal pada Tahap III atau Siaga.

Abu Vulkanik Jejas Kediaman Penduduk Sekeliling

Walaupun aktiviti Gunung Anak Krakatau disahkan telah berhenti, kesan abu vulkanik susulan letusan masih dirasai penduduk di beberapa kawasan terjejas.

Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, warga Indonesia di lokasi terjejas turut memuat naik keadaan semasa selepas letusan berkenaan.

Sementara itu, seorang wanita berkongsi keadaan matanya yang cedera selepas terkena abu vulkanik daripada letusan berkenaan.

Malah, ada juga yang menyamakan penyebaran abu vulkanik itu seperti salji yang baru turun.

Susulan penyebaran abu vulkanik itu, pihak berkuasa Indonesia menasihat warganya untuk mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kesan abu vulkanik itu.

Abu vulkanik boleh menjejaskan kesihatan kerana zarah halusnya boleh menyebabkan batuk, sakit tekak, iritasi mata dan kesukaran bernafas selain mengurangkan jarak penglihatan.

Pada masa yang sama, ia turut menjejaskan kualiti udara disamping boleh mencemarkan sumber air, merosakkan tanaman dan mengganggu operasi kenderaan serta peralatan.

Susulan itu, Gabenor Jakarta, Pramono Anung meminta orang ramai untuk mengamalkan amalan 5M, iaitu memakai pelitup muka, menutup pintu, tingkap dan sumber air, mengurangkan aktiviti di luar rumah, membersihkan abu vulkanik dengan membasahkannya terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat dari sumber rasmi.

Setakat ini, tiada laporan kematian akibat aktiviti gunung berapi berkenaan, namun insiden itu tetap membuatkan orang ramai berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Intipati
  • Letusan Anak Krakatau berakhir selepas kira-kira 25 jam, menurut pengesahan PVMBG.
  • BMKG memaklumkan abu vulkanik tersebar ke Jakarta, Banten, Lampung dan Bengkulu.
  • Pihak berkuasa menasihatkan penduduk memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti luar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan