Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Tuntutan Terhadap Pulau Pinang: Kedah Pertimbang Tiga Pendekatan
Kerajaan Negeri Kedah sedang memuktamadkan dokumen undang-undang berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang sebelum menentukan pendekatan terbaik sama ada melalui mahkamah, Majlis Raja-Raja atau rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembentangan akhir mengenai tuntutan isu pajakan Pulau Pinang telah dibuat oleh barisan peguam yang dilantik. Namun, beberapa dokumen penting masih dalam proses penyediaan.
"Apabila kesemua dokumen berkaitan siap, kita akan pilih pendekatan yang sesuai. Ada beberapa opsyen, antaranya mahkamah, Majlis Raja-Raja dan juga berunding dengan Kerajaan Persekutuan," katanya selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Sanusi menjelaskan, Kedah tidak semestinya memilih tindakan perundangan semata-mata. Sebaliknya, rundingan secara berfakta dan berasaskan dokumen kukuh juga antara pilihan terbaik bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan.
"Bukan nak berlawan sahaja, berunding pun boleh. Takkan rundingan nak ditolak jika dokumen dan fakta kita kukuh," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa jika boleh dielakkan, pendekatan rundingan adalah lebih baik berbanding membawa perkara itu ke mahkamah.
Namun, isu tersebut juga boleh dibawa ke Majlis Raja-Raja bagi memperbetulkan perkara yang tidak diselesaikan dengan baik pada masa lalu.
"Apa yang silap pada masa lalu, apa yang belum selesai dan dipaksa untuk diselesaikan pada masa lalu, apa salahnya kita mahu perbetulkan kesilapan lalu," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua dokumen berkaitan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
Mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyifatkan tuntutan Kedah tidak berperlembagaan serta menyamakannya dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, Sanusi menegaskan situasi tersebut adalah berbeza sama sekali.
"Sulu itu bukan dalam Malaysia. Di Sulu pun Sultan tak ada dah. Kita (Kedah) masih ada institusi kesultanan, jadi situasinya jauh berbeza dan tidak sama," katanya.
Beliau menegaskan Kedah akan bertindak berdasarkan kerangka Perlembagaan sedia ada dan tidak akan melanggar undang-undang dalam sebarang tuntutan atau tindakan.
"Kita akan berdepan secara berperlembagaan, dalam kerangka Perlembagaan sedia ada, kita tidak akan melanggar undang-undang," katanya.
Tambah Sanusi, sekiranya wujud isu dan kes itu perlu dibawa ke hadapan, ia wajar ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.
"Takkan semua tak berperlembagaan, kita pun baca buku. Insya-ALLAH perkara ini akan diselesaikan dengan baik," katanya.
Untuk info, Chow Kon Yeow sebelumnya dilaporkan berkata, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang disifatkan sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah, yang ditolak berdasarkan prinsip undang-undang dan kedaulatan negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan, tuntutan Sanusi terhadap kedaulatan Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan. Hal ini kerana menurutnya, Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Tuntutan Kedah ini susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah supaya isu pajakan Pulau Pinang diperjelaskan secara telus.
Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati nilai pajakan tersebut tidak pernah dinilai semula sejak 1786.