Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TVET Laluan Utama Lahirkan Tenaga Mahir, Pencipta Teknologi Dan Pemimpin Industri - Zambry

TVET
Kredit: Facebook Zambry Abd Kadir

Seramai 2,052 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) diraikan menerusi Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Kota Kinabalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kejayaan para graduan bukan sekadar pencapaian akademik, malah mencerminkan usaha, pengorbanan serta keberanian mereka dalam membina masa depan.

Katanya, seramai 415 graduan diraikan pada hari pertama majlis berkenaan, manakala keseluruhan 2,052 graduan menerima penghargaan di seluruh Zon Sabah.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua graduan. Kejayaan ini turut menjadi milik ibu bapa, keluarga, pensyarah dan seluruh warga PolyCC yang tidak pernah berhenti membimbing, menyokong dan mendoakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara laluan utama dalam melahirkan tenaga mahir, pencipta teknologi serta pemimpin industri pada masa hadapan.

Jelasnya, keperluan dunia pekerjaan hari ini bukan hanya terhadap individu yang mempunyai pengetahuan, tetapi mereka yang mampu mengaplikasikan kemahiran, menyelesaikan masalah serta mencipta nilai.

“Dunia kini memerlukan bukan sahaja mereka yang tahu, tetapi mereka yang tahu melakukan, menyelesaikan masalah dan mencipta nilai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kemampuan anak-anak PolyCC turut terbukti di peringkat antarabangsa apabila berjaya meraih 14 pingat dalam FIRA RoboWorld Cup & Summit 2026 di Kanada.

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan bakat TVET Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan berdiri sama tinggi dengan peserta terbaik dari negara lain.

Bagi Sabah, beliau berkata, pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pembangunan bakat anak tempatan bagi memastikan generasi muda negeri itu mendapat pendidikan, latihan dan peluang untuk menyumbang kepada kemajuan negeri serta negara.

“Kita mahu anak Sabah dididik, dilatih dan diperkasa, sebelum kembali menyumbang kepada kemajuan negeri serta negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru para graduan supaya tidak berhenti menimba ilmu dan tidak takut berdepan perubahan, selain terus menguasai teknologi, memelihara integriti serta membina karakter diri.

“Jangan sekadar mencari tempat dalam dunia pekerjaan, jadilah begitu bernilai sehingga dunia pekerjaan mencari anda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan graduan bahawa skrol yang diterima pada hari ini bukanlah pengakhiran perjalanan, sebaliknya menjadi permulaan kepada fasa baharu untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

“Hari ini saudara menerima skrol. Esok, dunia menanti untuk melihat apa yang mampu saudara lakukan dengannya,” jelasnya.

Intipati
  • Seramai 2,052 graduan PolyCC diraikan pada Majlis Konvokesyen Zon Sabah 2026.
  • Zambry berkata TVET menjadi laluan utama melahirkan tenaga mahir dan pemimpin industri.
  • Beliau berkata bakat PolyCC terbukti selepas meraih 14 pingat pertandingan robotik di Kanada.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan