Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tze Yong, BAM Berpisah

Tze Yong BAM
Gambar: BAM

Tze Yong, BAM Berpisah

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong telah mencapai persetujuan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menamatkan kerjasama mereka secara baik, berkuat kuasa 30 Jun 2026.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara kedua-dua pihak yang bersetuju bahawa langkah tersebut adalah yang terbaik buat Tze Yong dalam merancang fasa seterusnya karier profesionalnya.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, merakamkan penghargaan kepada Tze Yong atas sumbangannya sepanjang bersama badan induk badminton negara itu.

Menurut beliau, Tze Yong merupakan antara pemain penting skuad kebangsaan yang sentiasa membawa nama Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa.

“Walaupun kecederaan telah menjejaskan kemajuannya dalam beberapa tahun terakhir, semangat dan ketabahannya sepanjang proses pemulihan amat membanggakan.

“Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah langkah terbaik pada peringkat kariernya ketika ini.

"Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya kepada badminton Malaysia dan mendoakan kesihatan yang baik serta kejayaan berterusan pada masa hadapan,” katanya.

"Terima kasih kepada BAM..." - Tze Yong

Sementara itu, Tze Yong turut merakamkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, kakitangan sokongan dan rakan sepasukan yang sentiasa membantunya sepanjang berada dalam skuad kebangsaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan selama ini.

"Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan besar dan saya amat menghargai semua individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan karier saya.

“Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan kembali tahap kecergasan terbaik.

"Saya akan berehat seketika daripada pertandingan bagi memberi tumpuan kepada proses rehabilitasi sebelum kembali ke gelanggang, dan saya menantikan babak baharu dalam karier saya,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu pernah mencapai kedudukan ranking dunia tertinggi dalam kariernya apabila berada di tangga ke-14 dunia pada November 2023.

Sepanjang bersama skuad kebangsaan, beliau turut mencatat beberapa kejayaan membanggakan termasuk memenangi pingat perak perseorangan lelaki dan pingat emas acara berpasukan campuran pada Commonwealth Games 2022.

Selain itu, Tze Yong turut membantu Malaysia meraih pingat emas dalam Badminton Asia Team Championships 2022 serta menyumbang kepada pencapaian pingat gangsa negara dalam Sudirman Cup 2021 dan Sudirman Cup 2023.

Perkembangan karier terjejas akibat kecederaan serius

Namun, perkembangan kariernya dalam beberapa tahun kebelakangan ini terjejas akibat beberapa kecederaan serius.

Pada 2024, beliau mengalami kecederaan belakang sebelum berdepan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada 2025.

Kedua-dua kecederaan itu memerlukan pembedahan serta tempoh pemulihan yang panjang, sekali gus mengganggu momentum peningkatan prestasinya.

Sumber:BAM