UM Rai Sumbangan Berterusan Tan Sri Dr Lim Wee Chai
Universiti Malaya hari ini menganjurkan program “A Celebration of Legacy, Knowledge and Partnership” di Fakulti Perubatan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen filantropi berterusan Tan Sri Dr Lim Wee Chai dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan khidmat kepada masyarakat.
Program anjuran Fakulti Perubatan, Universiti Malaya itu menyaksikan beberapa detik penting termasuk pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penubuhan Biasiswa Tan Sri Dr Lim Wee Chai dalam Bidang Perubatan dan Kesejahteraan serta sambutan ulangtahun pertama Muzium Perubatan Tan Sri Dr Lim Wee Chai.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan naskhah terjemahan Bahasa Malaysia biografi Tan Sri Dr Lim Wee Chai, sekali gus menambah makna kepada sambutan tersebut.

MoA perkukuh kerjasama berteraskan nilai pembelajaran sepanjang hayat dan khidmat masyarakat
Kemuncak majlis adalah pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan Tan Sri Dr Lim Wee Chai, yang melambangkan kesinambungan kerjasama jangka panjang berasaskan nilai bersama iaitu pembelajaran sepanjang hayat dan khidmat kepada masyarakat dalam bidang perubatan dan kesejahteraan. Selepas majlis menandatangani MoA, simbolik penyerahan cek replika berjumlah RM1 juta turut diadakan kepada Fakulti Perubatan.
“MoA hari ini mencerminkan sebuah kerjasama yang dibina atas nilai bersama, ilmu, khidmat dan impak berpanjangan. Ia meneruskan legasi Tan Sri Dr Lim di Fakulti Perubatan dengan manfaat langsung kepada pelajar serta mengukuhkan masa depan penjagaan kesihatan negara,” kata YBhg. Profesor Dato’ Dr Yang Faridah Abdul Aziz, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Sumbangan RM2 juta pada Januari 2025 bantu penubuhan muzium perubatan bersejarah
Majlis turut mengiktiraf sumbangan terdahulu Tan Sri Dr Lim sebanyak RM2 juta bagi penubuhan Muzium Perubatan Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang telah dilancarkan pada 25 Januari 2025. Muzium tersebut memperkaya pengalaman pendidikan perubatan di samping memelihara warisan sejarah dan saintifik fakulti, sekali gus menjadi penghubung antara pembelajaran tradisional dan pendidikan perubatan berorientasikan masa hadapan.

Dana biasiswa kekal sokong pelajar dan penyelidikan berimpak tinggi
Meneruskan komitmen tersebut, Tan Sri Dr Lim menubuhkan dana biasiswa endowmen kekal bernilai RM1 juta bagi menyokong pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dalam program penyelidikan, kerja kursus serta mod campuran dalam bidang perubatan dan kesejahteraan. Dana ini akan:
• memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang layak dan berpotensi,
• menggalakkan kecemerlangan akademik serta penyelidikan berimpak dalam bidang kritikal kepada sektor kesihatan Malaysia,
• memperkukuh kerjasama antara akademik dan industri, dan
• menyumbang kepada pembangunan bakal pemimpin masa hadapan dalam bidang kesihatan dan industri berkaitan.

“Saya percaya kejayaan yang sebenar adalah apabila kita dapat berbuat baik sambil berjaya. Kemajuan yang mampan lahir apabila kita memperkasa orang lain melalui ilmu, dan kesihatan yang baik menjadi asas untuk seseorang belajar, bekerja serta menyumbang secara positif.”
”Dengan menyokong pelajar yang layak dalam bidang perubatan dan kesejahteraan, kita sedang membentuk masa depan penjagaan kesihatan Malaysia. Harapan saya agar biasiswa ini melahirkan generasi pemimpin baharu yang terus berbakti kepada masyarakat, memacu inovasi perubatan dan meneruskan legasi ilmu serta khidmat,” ujar Tan Sri Dr Lim Wee Chai, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd.

Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, menekankan kepentingan kepimpinan alumni dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan universiti serta sumbangannya kepada negara.
“Teladan kepimpinan mampu mendorong pihak lain untuk turut menyumbang sama ada melalui biasiswa, bimbingan, kerjasama penyelidikan atau perkongsian institusi. Apabila penglibatan alumni menjadi sebahagian daripada budaya institusi, impak kolektifnya akan lebih kukuh. Universiti yang cemerlang lahir daripada rasa tanggungjawab bersama,” katanya.

Sumbangan ilmu dan ulangtahun muzium diraikan
Majlis turut menghargai sumbangan Universiti Malaya dalam penerbitan terjemahan Bahasa Malaysia biografi Tan Sri Dr Lim Wee Chai berjudul “Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar”. Pasukan Fakulti Bahasa dan Linguistik yang diketuai Profesor Dr Surinderpal Kaur A/p Chanan Singh telah menyediakan khidmat semakan pruf dan penilaian terjemahan secara pro bono sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan Tan Sri Dr Lim sebagai penyumbang dan rakan strategik universiti.

Acara berakhir dengan sambutan ulangtahun pertama Muzium Perubatan Tan Sri Dr Lim Wee Chai, sekali gus menegaskan komitmen Universiti Malaya terhadap kerjasama bermakna yang memberi impak jangka panjang dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan negara.
