Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali: Kenali Perjalanan Hidup Dan Sumbangan Allahyarhamah

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia
Kredit: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini.

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia

Perkara itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 100 tahun, selepas melalui perjalanan panjang sebagai doktor perubatan serta tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam, kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarhamah merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Bapanya, Haji Mohd Ali, merupakan seorang pegawai kerajaan manakala ibunya, Hajah Siti Khatijah Ahmad, seorang suri rumah.

Dari bangku sekolah ke bidang perubatan

Allahyarhamah mendapat pendidikan awal di Methodist Girls’ School, Kuala Lumpur sebelum meneruskan persekolahan di St Mary’s School dan Pudu English School, sehingga memperoleh School Certificate.

Selepas Perang Dunia Kedua, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa.

Allahyarhamah merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi berkenaan juga beliau bertemu Tun Dr Mahathir yang turut melanjutkan pengajian pada tahun sama. Hubungan mereka kemudiannya berkembang sehingga membawa kepada perkahwinan.

Pada 1955, Allahyarhamah menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Berkahwin Dengan Tun Dr Mahathir

Pada 4 Ogos 1956, Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir di Kuala Lumpur.

Selepas perkahwinan, beliau berpindah ke Alor Setar, Kedah dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.

Pelopor dalam kesihatan ibu dan anak

Sepanjang berkhidmat sebagai pegawai perubatan, Allahyarhamah aktif menyertai kempen kesihatan anjuran Kementerian Kesihatan, khususnya program yang menyasarkan masyarakat di kawasan luar bandar.

Pada 1965, beliau mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak.

Kemudiannya pada 1974, beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.

Allahyarhamah turut menghasilkan penulisan berkaitan perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran anak di Malaysia.

Aktif dalam kebajikan dan kesihatan awam

Selain kerjaya dalam bidang perubatan, Allahyarhamah turut aktif dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan kesihatan.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuk Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Persatuan Perancang Keluarga Kedah, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia dan Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-Kanak Cacat.

Beliau turut pernah menjadi Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancang Keluarga Malaysia serta penaung kepada beberapa pertubuhan berkaitan kesihatan ibu, bayi dan kanak-kanak.

Allahyarhamah juga pernah menerajui BAKTI, iaitu Kelab Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri, dengan memberi perhatian terhadap usaha mendidik golongan muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Pada 1985, atas jemputan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Nancy Reagan, beliau menghadiri First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington, D.C.

Beliau turut mewakili Malaysia pada International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking di Vienna pada 1987.

Menerima pelbagai pengiktirafan

Sumbangan Allahyarhamah dalam bidang kesihatan awam, pendidikan dan usaha membanteras penyalahgunaan dadah turut mendapat pelbagai pengiktirafan.

Pada 31 Oktober 2003, beliau dianugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Penganugerahan itu menjadikan beliau wanita pertama yang merupakan isteri Perdana Menteri Malaysia menerima gelaran Tun melalui darjah berkenaan.

Allahyarhamah turut menerima beberapa doktor kehormat daripada institusi pengajian tinggi luar negara termasuk University of Indiana di Amerika Syarikat, University of Victoria di Kanada, Royal College of Physicians di Dublin, Ireland dan University of Edinburgh di Scotland.

Di Malaysia, beliau menerima doktor kehormat daripada beberapa universiti termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, International Medical University, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pada 1998, Allahyarhamah menerima Kazue McLaren Award daripada Asia Pacific Consortium for Public Health.

Beliau turut berkhidmat sebagai Canselor Multimedia University di Cyberjaya dari 1997 hingga 2012.

Perjuangan dalam kesihatan mental dan isu wanita

Allahyarhamah turut mempunyai minat dalam bidang kesihatan mental dan pernah dijemput oleh bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Rosalynn Carter, untuk menyertai National Committee of the World Federation of Mental Health.

Beliau juga pernah menjadi penaung Pan Pacific South East Asia Women’s Association (PESAWA) Malaysia dan menghadiri persidangan tiga tahunan pertubuhan itu di Tokyo pada 1984, Bangkok pada 1991 serta Tonga pada 1994.

Pada Ogos 1997, Allahyarhamah menjadi tuan rumah kepada persidangan tiga tahunan ke-20 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pada 1995, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Wanita di Beijing.

Dalam persidangan berkenaan, Allahyarhamah menyampaikan ucapan bertajuk “Equality, Development and Peace: A Caring World”.

Lebih 70 Tahun bersama Tun Dr Mahathir

Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir mendirikan rumah tangga selama lebih tujuh dekad.

Selepas Tun Dr Mahathir menamatkan tempoh pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 2003, Allahyarhamah terus memberikan sokongan dan menemani suaminya dalam pelbagai urusan.

Pasangan itu kemudiannya kembali ke tampuk kepimpinan negara apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.

Pada 5 Ogos 2026, pasangan itu genap 70 tahun mendirikan rumah tangga.

Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun hari ini menutup perjalanan panjang seorang doktor perubatan dan tokoh wanita yang aktif dalam bidang kesihatan awam, kebajikan, pendidikan serta pelbagai usaha kemasyarakatan.

Intipati
  • Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun.
  • Allahyarhamah ialah doktor perubatan dan tokoh kesihatan awam, kebajikan serta pendidikan.
  • Beliau berkahwin dengan Tun Dr Mahathir sejak 1956 dan dikurniakan tujuh anak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan