Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Universiti-universiti di China dilaporkan menggugurkan kira-kira 12,000 program pengajian melibatkan bidang seni, kemanusiaan dan bahasa bagi memberi laluan kepada kursus berteraskan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), lapor The Independent.
Menurut laporan tempatan, langkah penstrukturan semula itu dibuat bagi menyelaraskan sistem pendidikan tinggi negara itu dengan agenda China untuk membina ekonomi yang dipacu AI.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan China, hampir satu pertiga daripada program universiti di negara itu terkesan dengan perubahan tersebut, sekali gus melibatkan jutaan pelajar.
Dalam tempoh antara 2021 hingga 2025, sebanyak 10,200 program ijazah sarjana muda baharu diperkenalkan di institusi pengajian tinggi China sebagai sebahagian daripada peralihan tersebut.
Laporan South China Morning Post menyebut bahawa program seni dan kemanusiaan kini semakin dilihat sebagai “lapuk” dan tepu dari segi pasaran pekerjaan.
Sebaliknya, kursus baharu seperti embodied intelligence dianggap lebih selari dengan matlamat pembangunan ekonomi Beijing.
Seorang graduan dari University of Shanghai for Science and Technology yang enggan dikenali berkata prospek pekerjaan yang semakin sukar menjadi antara sebab program pengajiannya dihentikan.
“Perkembangan pesat AI memberi kesan besar kepada bidang reka bentuk produk.
“Banyak tugas utama seperti pemodelan dan rendering kini boleh dilakukan oleh AI,” katanya.
Perubahan sistem pendidikan di China itu dilihat selari dengan beberapa negara lain yang turut menstruktur semula kurikulum kebangsaan bagi memasukkan elemen AI.
India misalnya telah memasukkan modul AI secara langsung dalam silibus sekolah kebangsaan, manakala United Arab Emirates melancarkan Inisiatif Pendidikan AI Kebangsaan.
Selain itu, Kazakhstan turut memperkenalkan strategi pendidikan baharu selepas menyifatkan penggunaan AI sebagai soal kelangsungan negara.
Di Eropah, Spain turut mengemas kini kurikulum pendidikan dengan memberi fokus kepada literasi AI menerusi strategi “Digital Spain”.
Sementara itu, Setiausaha Pendidikan United Kingdom, Bridget Phillipson sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan kelayakan baharu dalam sains data dan AI seiring peperiksaan GCSE serta A-Level.
Langkah itu dijangka menjadi sebahagian daripada semakan terbesar kurikulum kebangsaan negara itu dalam tempoh sedekad, yang dijadual diterbitkan tahun depan sebelum dilaksanakan bermula September 2028.