Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tua Bukan Penghalang, ‘French Spiderman’ Panjat Bangunan 48 Tingkat Pada Usia 60 Tahun

Nurhanis
french spiderman panjar bangunan
Petikan layar

Bagi memenuhi matlamat dirinya sebaik mencapai usia 60 tahun, seorang pendaki bebas dikenali sebagai ‘French Spiderman’ memanjat bangunan pencakar langit di Paris membuktikan umur bukan penghalang untuk bersukan.

Lapor The Guardian pada Sabtu, Alain Robert dipercayai telah menawan puncak bangunan Tour Total setinggi 187 meter di daerah perniagaan La Defense di ibu negara Perancis itu.

“Saya mahu menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa 60 tahun bukan penghalang untuk melakukan apa-apa. Masih boleh bersukan, aktif, melakukan perkara yang hebat.

“Saya berjanji kepada diri saya sendiri beberapa tahun lalu, apabila saya mencapai usia 60 tahun saya akan mendaki menara itu semula.

“Kerana 60 tahun melambangkan umur persaraan di Perancis dan saya fikir itu merupakan penamat yang bagus,” katanya semasa menyambut ulang tahunnya yang ke 60-bulan lalu.

Petikan layar

Imbas kembali, Robert mula mendaki pada tahun 1975 dan sering berlatih di tebing berhampiran bandar asalnya Valence di selatan Perancis.

Setelah itu, dia pernah melakukan pendakian solo pada tahun 1977 dan telah memanjat lebih 150 bangunan tinggi di seluruh dunia antaranya Burj Khalifa di Dubai, Menara Eiffel di Paris dan Jambatan Golden Gate di San Francisco, US.

Namun tidak kurang juga, dia turut pernah ditangkap beberapa kali oleh pihak berkuasa ekoran memanjat dengan tangan kosong tanpa menggunakan tali pinggang keselamatan.

Difahamkan, Robert sebaliknya hanya memanjat dengan sepasang kasut serta beg yang dipenuhi serbuk kapur untuk mengelap peluh di tangan.

French Spiderman itu kemudiannya berada di kedudukan antara pendaki terhebat dalam sejarah dan mendakwa mempunyai fokus yang tepat yang merupakan rahsia untuk berjaya.

“Dalam permainan saya, ada kehidupan di satu pihak dan ada kematian di pihak yang lain.

“Sama ada kita dikuasai rasa takut atau perlu fokus,” katanya pada bulan April memetik The Guardian.

Tidak dinafikan, dia turut berasa takut pada awalnya namun segalanya berubah setelah menjadi fokus.

“Sebelum mendaki saya takut, tetapi sebaik sahaja jari saya menyentuh pegangan pertama, rasa takut telah bertukar.

“Saya menjadi lelaki berbeza dan memasuki dunia lain,” katanya lagi apabila menerangkan mengenai pengalaman pertamanya.

Sumber: The Guardian