Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Usia Cecah 100 Tahun, David Attenborough Kembali Jadi Narator Blue Planet III

David Attenborough Kembali Jadi Narator Blue Planet III
Kredit: Instagram David Attenborough

Peminat dokumentari alam semula jadi pastinya teruja apabila Sir David Attenborough kembali meminjamkan suara ikoniknya untuk siri terbaharu Blue Planet III pada usia 100 tahun.

Menurut BBC, dokumentari yang mengangkat keindahan hidupan laut itu bakal menemui penonton menerusi BBC One dan BBC iPlayer pada musim luruh 2026.

Menariknya, kepulangan David kali ini cukup istimewa kerana beliau sudah menemani penonton meneroka dunia bawah laut sejak siri pertama The Blue Planet disiarkan pada 2001.

Selepas 25 tahun, pengacara dan pencerita alam semula jadi legenda itu sekali lagi membawa penonton menyelami dunia lautan yang penuh misteri, keajaiban dan penemuan baharu.

David Attenborough Kembali Jadi Narator Blue Planet III

Menerusi mesej khas yang dirakam sempena tayangan treler global, David turut berkongsi perasaannya apabila kembali menghidupkan dokumentari berkenaan pada tahun beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-100.

“Dua puluh lima tahun lalu, ketika saya menjadi narator siri pertama ‘Blue Planet’, saya tidak pernah terfikir akan menceritakan siri ketiga pada tahun saya menyambut ulang tahun ke-100.

“Lautan ialah tempat yang sentiasa mempesonakan, dan menerusi program baharu ini, kita menemui pelbagai hidupan bawah laut yang lebih menakjubkan, lebih kompleks dan jauh lebih penting daripada yang pernah kita bayangkan.

“Saya berasa bangga dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada Blue Planet III,” katanya.

Siri terbaharu ini bukan sekadar menghidangkan pemandangan laut yang memukau, malah menampilkan kisah hidupan marin yang sebelum ini sukar dirakam menggunakan teknologi penggambaran biasa.

Dengan bantuan teknologi kamera generasi baharu seperti dron percikan air, kamera bawah laut jarak jauh dan kamera berbentuk kubah mini, pasukan produksi mampu merakam tingkah laku haiwan yang luar biasa.

Berbeza daripada siri terdahulu yang banyak mendedahkan ancaman terhadap lautan, Blue Planet III turut mengetengahkan kisah penyesuaian hidupan marin, daya tahan dan harapan terhadap pemulihan ekosistem.

Dokumentari ini bakal membawa penonton menjelajah lima habitat utama, iaitu laut tropika, lautan terbuka, laut bermusim, perairan kutub dan kawasan laut dalam.

Episod keenam dan terakhir pula akan memberi tumpuan kepada masa depan lautan serta usaha yang diperlukan untuk melindungi khazanah semula jadi tersebut.

Bagi menambahkan lagi pengalaman menonton, komposer pemenang pelbagai anugerah Hans Zimmer turut bekerjasama dengan penyanyi JADE untuk menghasilkan lagu tema khas berjudul Into The Deep (Seas Cry).

Menurut BBC, proses penerbitan siri terbaharu itu mengambil masa lebih empat tahun di bawah kendalian Unit Sejarah Alam BBC Studios.

Sebagai rekod, Blue Planet II yang disiarkan pada 2017 pernah mencetuskan perhatian global terhadap pencemaran plastik sekali guna dan mengubah cara masyarakat melihat kehidupan di lautan.

Kini, dengan kembalinya suara David yang sudah sinonim dengan dokumentari alam semula jadi, Blue Planet III bakal membuka satu lagi lembaran baharu dalam usaha memahami dunia bawah laut.

Jadi, bersiap sedialah untuk kembali terpukau dengan keajaiban lautan apabila siri enam episod ini menemui penonton pada musim luruh 2026.

Intipati
  • Sir David Attenborough kembali menjadi narator Blue Planet III pada usia 100 tahun.
  • Siri enam episod itu bakal ditayangkan di BBC One dan BBC iPlayer musim luruh 2026.
  • Dokumentari tersebut menggunakan teknologi kamera baharu untuk merakam tingkah laku hidupan marin luar biasa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan