Kadangkala, bantuan yang paling bermakna bukanlah tentang jumlah yang besar, sebaliknya kesanggupan seseorang untuk meluangkan masa, tenaga dan usaha demi membantu mereka yang memerlukan.
Itulah yang dilakukan Barbara Carroll, seorang pemilik kedai barangan terpakai berusia 84 tahun yang sanggup memandu ribuan kilometer setiap bulan untuk menghantar pakaian kepada komuniti di kawasan pedalaman Australia Barat.
Lebih mesra dikenali sebagai “Nan Barb” di kampung halamannya di Donnybrook, kira-kira 200 kilometer di selatan Perth, wanita itu akan memenuhi van miliknya dengan kotak berisi pakaian sumbangan sebelum memulakan perjalanan jauh ke kawasan utara Australia Barat.
Sanggup pandu ribuan kilometer
Nan Barb akan mengagihkan pakaian berkenaan kepada badan kebajikan dan pusat perlindungan wanita di beberapa lokasi termasuk Carnarvon, Newman, Nullagine dan Roebourne.
Perjalanannya ke kawasan berkenaan secara rutin melibatkan jarak lebih 2,000 kilometer.
“Saya tidak melakukannya untuk mendapatkan ganjaran atau apa-apa. Ia datang secara semula jadi.
“Kalau seseorang memerlukan bantuan, kita bantu mereka. Itulah yang saya lakukan.
“Mereka tidak boleh begitu sahaja pergi ke kedai untuk membeli pakaian kerana kedudukannya terlalu jauh,” katanya.
Kecintaannya terhadap muzik country pula menjadi teman sepanjang perjalanan jauh tersebut.
“Saya lebih suka memandu seorang diri. Saya boleh luangkan masa sendiri. Saya memang suka begitu,” katanya.
Bermula kerana terlalu banyak pakaian sumbangan
Kedai barangan terpakai milik komuniti yang diusahakannya dipenuhi pelbagai barangan, daripada pembakar roti lama hingga gaun perkahwinan yang cantik.
Jumlah pakaian yang diterima daripada orang ramai di seluruh wilayah South West, Australia Barat, yang terlalu banyak akhirnya mendorongnya memulakan kempen kebajikan dikenali sebagai “Nan Goes North”.

Usaha itu turut dekat di hati cucunya, Tara Carroll, seorang wanita daripada masyarakat Wiradjuri yang akan menyertai perjalanan neneknya apabila berkesempatan.
“Apabila tinggal di kawasan pedalaman, itu sendiri sudah menjadi satu kekurangan kerana mereka tidak mempunyai akses yang mudah kepada banyak perkara seperti perkhidmatan perubatan, pakaian dan sebagainya.
“Jadi, dapat menyertai Nan dalam pengembaraan ini dengan membawa pakaian dan apa sahaja yang mereka perlukan memang sangat bermakna,” kata Tara.
Hubungan Nan Barb dengan komuniti di utara juga begitu rapat kerana dia dibesarkan di Nullagine, sebuah komuniti pedalaman di wilayah Pilbara, Australia Barat.
Menurut Tara, masyarakat di kawasan itu merupakan keluarga suku Nan Barb dan wanita berkenaan mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan komuniti tersebut.
“Hatinya berada di tanah merah itu,” katanya.
Dikenali sebagai ‘malaikat’
Shahenaz Kouzi, seorang pejuang komuniti daripada Puntukurnu Aboriginal Medical Service yang berpangkalan di Newman serta bekas kakitangan pusat perlindungan wanita tempatan, berkata kedua-dua organisasi berkenaan kerap menerima sumbangan pakaian daripada Nan Barb.
“Selimut, pakaian musim sejuk dan musim panas, pakaian bayi, pakaian wanita dan lelaki, jumlahnya sangat banyak.
“Kami menyayanginya. Saya harap dia nenek saya,” ujarnya.

Menurut Shahenaz, Nan Barb dikenali dan disayangi oleh penduduk di kawasan pedalaman East Pilbara.
“Mereka memanggilnya malaikat. Terlalu banyak kata-kata baik yang boleh diberikan kepada Barb daripada masyarakat Orang Asli di sini. Mereka semua mengenalinya,” katanya.
‘Nan Goes North’ teruskan misi
Seorang sukarelawan di kedai barangan terpakai Donnybrook, Andrew Clifford, menyifatkan Nan Barb sebagai penduduk tempatan yang disayangi serta terkenal dengan sikapnya yang terus terang.
“Oh, dia seorang wanita yang baik dan banyak melakukan perkara untuk komuniti. Dia juga sangat kelakar.
“Cara dia bercakap dan bahasanya agak kasar, tetapi itulah yang menjadikannya menarik,” katanya.

Walaupun beberapa kejadian tidak diduga pernah berlaku sepanjang pengembaraannya, Tara berkata neneknya sentiasa berjaya mencari jalan untuk pulang.
“Kenderaannya pernah rosak di tepi jalan dan sentiasa ada seseorang yang datang membantunya,” katanya.
Shahenaz turut mengimbas satu kejadian apabila penghawa dingin van Nan Barb rosak, menyebabkan mereka bimbang wanita itu tidak dapat menahan cuaca panas.
“Kami risau tentangnya, tetapi dia sangat sihat dan kuat,” katanya.
Kini, keluarga dan komuniti Nan Barb sedang mengumpul dana untuk mendapatkan sebuah trak supaya dia dapat memperluaskan lagi usaha kebajikannya selain memudahkan seorang penumpang menyertainya dalam perjalanan.
Menurut Nan Barb, van yang digunakannya sekarang terlalu sempit untuk membawa dua orang, selain anjingnya, Bob.
“Van itu terlalu tidak selesa untuk membawa dua orang kerana tiada ruang untuk kaki.
“Saya tidak memerlukannya, tetapi semua orang berpendapat saya perlukan seseorang untuk menemani saya,” katanya.

