Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C jenis pukat tunda yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan di dalam kawasan batas Pelabuhan Pulau Pinang serta melanggar syarat lesen, malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, penahanan itu dilakukan susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada pihak Kawalan Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira pukul 9.30 malam.
Menurut beliau, vesel berkenaan dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di dalam kawasan batas Pelabuhan Pulau Pinang, kira-kira 2.6 batu nautika di barat daya Pulau Rimau.
“Tindakan itu menyebabkan pukat yang digunakan tersangkut pada kipas sebuah bot malim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Suffi berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan vesel berkenaan kira-kira pukul 10.45 malam pada kedudukan 0.4 batu nautika di timur Batu Maung.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh empat kru berusia antara 50 hingga 62 tahun, terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang berstatus Penduduk Tetap,” ujarnya.
Beliau berkata, kira-kira pukul 11.15 malam, vesel bersama kesemua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
Menurutnya, kesemua kru bersama vesel serta peralatan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dibawa ke Jeti Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia atau syarat pelesenan perikanan.
“Penguatkuasaan, kawalan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian sumber marin serta keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau talian kecemasan MERS 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.