Baru berusia 11 tahun tetapi telah mempunyai pencapaian yang besar dan membanggakan negara, Maryam Muzamir baru-baru ini dilaporkan telah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dalam pertandingan sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 yang berlangsung di Toronto, Kanada, bulan lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, murid dari Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan itu telah merangkul tiga pingat emas kerana mencipta inovasi sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut dengan menamakan produk itu Yam 2.0 dalam pertandingan itu.
Tambah membanggakan, kejayaannya itu juga telah mendapat perhatian rancangan bual bicara popular Amerika Syarikat, The Late Late Show with James Corden.
Menerusi video yang dimuatnaik oleh rancangan itu di Twitter, pengacara, James Corden dilihat teruja dan kagum semasa bercakap mengenai kejayaan Maryam.
“Maryam Muzamir, kanak-kanak 11 tahun di Malaysia telah menemui manfaat kegunaan kulit makanan laut dengan membuat makanan haiwan yang lebih sihat dan lestari, dia 11 tahun dari Malaysia!,” kata James Corden.
Video itu telah mendapat perhatian netizen Malaysia yang turut merasa bangga dengan pencapaian Maryam yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, bapa kepada Maryam, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan meluahkan rasa syukur kerana kegigihan anak sulungnya itu dalam menghasilkan inovasi dan rekacipta akhirnya berbaloi.
Bercerita mengenai anaknya itu kepada Sinar Harian, beliau berkata idea inovasi itu timbul ketika mereka sekeluarga mengunjungi sebuah restoran makanan laut di Kuantan. Banyak bahan buangan yang dilihat di restoran tersebut terutama kulit atau cengkerang makanan laut.
Sejak dari itu, Maryam telah melakukan pemerhatian dan merancang inovasi dengan mencipta ramuan sendiri.
ICAN 2021 diadakan secara dalam talian pada 28 Ogos lalu, ia merupakan pertandingan inovasi dan rekacipta terbesar di benua Amerika Utara.
Tahniah diucapkan kepada Maryam, semoga terus maju jaya dan mencipta pelbagai lagi inovasi yang membanggakan.