Pihak berkuasa Singapura sedang melakukan siasatan berikutan insiden letupan yang berlaku dari sebuah lubang telco di Bukit Batok pada Selasa, lapor CNA.
Satu rakaman video dashcam memaparkan insiden letupan yang berlaku di luar tempat letak kereta bertingkat di Singapura telah menjadi tular di media sosial.
Menurut CNA, ketika mereka tiba di tempat kejadian, kenderaan hazmat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis dilihat telah pun tiba. Letupan tersebut telah menyebabkan batu bata yang berada di sekitar lubang tersebut berselerak.
Pihak SCDP menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 9.10 pagi, dan tiada api atau mangsa yang tercedera dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian itu tidak disengajakan dan siasatan sedang dijalankan,” tambah SCDF.
Video letupan itu telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah mendapat sebanyak lebih 2 ribu perkongsian di Facebook.
Sumber: CNA