Kejadian banjir yang melanda di beberapa negeri pada minggu lalu menyaksikan pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan agama turun membantu mangsa-mangsa dengan menyalurkan pelbagai bantuan sejak hari pertama bencana itu berlaku.
Ini termasuk pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pantas membantu mangsa-mangsa banjir yang terperangkap di rumah mereka. Malah, difahamkan pihak ATM juga telah diarahkan bersiap siaga untuk operasi banjir sejak dua bulan lepas.
Bagaimanapun, ada yang mempersoalkan tugas dan tanggungjawab mereka dan mendakwa bahawa pihak ATM lambat tiba untuk menyelamatkan mangsa banjir walaupun sebaliknya yang berlaku.
Menerusi perkongsian video di Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia, seorang anggota tentera berkongsikan mengenai tugas yang dilakukan oleh mereka ketika banjir tersebut berlaku.
Menurutnya, dia dan anggota yang lain hanya fikir untuk menyelamatkan mangsa-mangsa terlebih dahulu kerana keadaan pada ketika itu sangat kucar-kacir.
“Kita buat kerja kita je, kita abaikan jela apa yang netizen nak cakap janji kita buat kerja kita, ikhlaskan diri.
“Sampai sini kami tak fikir lagi pasal rumah atau tempat tinggal, kami turun peralatan bot semua terus jalankan kerja.
“Masa tu situasi masih lagi kucar kacir, masih lagi ramai orang yang perlu diselamatkan, memang tak fikir apa, sampai turun bot jalan (buat kerja).
Tambahnya lagi, segala penat lelah tidak dirasakan ketika membantu mangsa banjir walaupun mereka tidak tidur dan berehat.
“Buat kerja diam-diam tidak mengharapkan pujian kerana pasukan ATM dilatih dan terlatih. Jangan ada pihak yang suka laga-lagakan pasukan keselamatan kerana kita perlu hidup bersatu hati,” tulis Kementerian Pertahanan di kapsyen video itu.
Sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia