Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Sekurang-kuranya tiga roket dilaporkan membedil kawasan berdekatan istana presiden di Kabul, Afghanistan pada Selasa sebelum presiden Afghanistan iaitu Ashraf Ghani menyampaikan ucapan sempena Hari Raya Aidiladha, lapor portal Independent.
Mirwais Stanikzai, jurucakap kepada menteri dalam negeri menyatakan bahawa roket tersebut telah membedil kawasan di luar kawasan istana dan tiada kecederaan yang dilaporkan.
Menurut portal Independent, tidak ada pihak yang tampil bertanggunjawab di atas serangan terbabit setakat ini.
Dalam sebuah video kejadian yang disiarkan di saluran TV Afghanistan, TOLO News dan telah tersebar di media sosial, bunyi roket yang membedil kawasan berhampiran istana presiden itu sangat kuat dan dapat didengari ketika kakitangan istana sedang bersolat.
Walaupun rakaman itu menunjukkan beberapa orang dalam saf tersebut kelihatan panik mendengar bunyi letupan tersebut, kebanyakan daripada mereka tetap meneruskan solat ketika roket-roket itu meletup.
Istana tersebut difahamkan berada di tengah-tengah zon hijau yang dibentengi dengan dinding yang tinggi dan kawat berduri. Kawasan itu turut menempatkan beberapa kedutaan negara luar termasuk Amerika Syarikat.
Keganasan dan ketidakstabilan di negara itu dilaporkan semakin meningkat sejak tentera Amerika Syarikat dan NATO berundur dari Afghanistan.
Militan Taliban dilaporkan telah merampas puluhan daerah di Afghanistan ketika tentera Afghanistan berundur secara besar-besaran, dan kumpulan tersebut kini dipercayai menguasai sekitar sepertiga negara itu.