Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Visa Malaysia Lancarkan Pelan Hala Tuju Keselamatan 2026-2028

VISA

Visa Malaysia Lancarkan Pelan Hala Tuju Keselamatan 2026-2028

Visa, peneraju global dalam pembayaran, hari ini melancarkan Pelan Hala Tuju Keselamatan Malaysia 2026-2028 yang menggariskan enam keutamaan teras bagi memperkukuh ekosistem pembayaran negara ketika kecerdasan buatan (AI), automasi dan rangkaian penipuan yang semakin terancang mencorakkan semula landskap ancaman.

Diperkenalkan pada 2019 dan dikemas kini pada 2023, edisi terbaharu pelan hala tuju ini dibangunkan berasaskan kerangka edisi terdahulu bagi menangani persekitaran pembayaran yang semakin berubah. Penipuan kini berkembang melangkaui penggunaan tanpa kebenaran terhadap maklumat kelayakan yang dicuri kepada penipuan pembayaran yang memperdaya mangsa untuk meluluskan sendiri transaksi dengan mengeksploitasi kepercayaan, rasa terdesak dan tingkah laku manusia. Pelan ini menyediakan panduan khusus untuk pasaran Malaysia bagi membantu Visa dan rakan-rakan kerjasamanya merentasi ekosistem memperkukuh keselamatan, sambil mengekalkan pengalaman pembayaran yang lancar seperti yang diharapkan oleh pengguna dan perniagaan. 

Usaha ini amat penting ketika teknologi maklumat dan komunikasi serta e-dagang menyumbang 23.4 peratus, atau RM451.3 bilion, kepada ekonomi negara pada 2024. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM2.97 bilion akibat penipuan kewangan pada 2025, jumlah tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh tiga tahun. Perkembangan ini menekankan keperluan untuk memperkukuh keselamatan seiring pertumbuhan digital negara.

“Seiring perkembangan ekonomi digital Malaysia, keyakinan terhadap pembayaran digital perlu terus dipelihara bagi memastikan pengguna dan perniagaan boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam pertumbuhan tersebut. Namun, kepercayaan tidak boleh dipertahankan oleh mana-mana satu organisasi sahaja. Ia memerlukan institusi kewangan, pihak berkuasa kawal selia, peniaga, penyedia teknologi dan pengguna untuk bekerjasama, dengan menggabungkan tanggungjawab bersama serta keupayaan keselamatan yang sewajarnya. Melalui pelan hala tuju ini, Visa menggariskan satu hala tuju bersama untuk industri dalam memperkukuh ketahanan ekosistem pembayaran Malaysia, sambil terus membolehkan perdagangan digital yang selamat dan lancar,” kata Jason Phua, Ketua Pelanggan, Visa Malaysia.

Enam Keutamaan untuk Ekosistem Pembayaran Selamat dan Dipercayai

Pelan Hala Tuju Keselamatan Visa Malaysia 2026-2028 mengenal pasti enam keutamaan yang berhubung kait untuk melindungi ekosistem pembayaran dalam era AI. Ini termasuk:

  • Memperkukuh keselamatan siber untuk menjangka ancaman baharu dan meningkatkan ketahanan ekosistem, termasuk menambah baik kesiapsiagaan siber serta pengawasan terhadap kerentanan pihak ketiga.

  • Memajukan pengesahan bagi mewujudkan pengalaman digital yang lancar dan selamat dengan mengurangkan kebergantungan pada kata laluan sekali guna melalui SMS (OTP), dan beralih kepada pengesahan biometrik serta pengesahan dalam aplikasi, termasuk kunci laluan pembayaran.

  • Membolehkan transaksi yang lebih selamat melalui pembayaran bertoken dengan menggantikan tanda pengenalan pembayaran sensitif seperti nombor akaun peribadi (PAN) dengan token bagi mengurangkan nilai data kad yang dicuri.

  • Mentransformasikan proses pembayaran e-dagang untuk meningkatkan keyakinan dan kemudahan pengguna melalui pengalaman yang selamat dan dipermudah seperti Click to Pay.

  • Memanfaatkan piawaian asas untuk meningkatkan prestasi rangkaian dengan memperkukuh pelaporan penipuan, proses penerimaan peniaga, kebertanggungjawaban pihak ketiga dan pematuhan.

  • Membina ekosistem pembayaran yang berdaya tahan bagi menangani penipuan dalam era AI melalui risikan pada peringkat rangkaian, pengesanan risiko masa nyata dan kerjasama merentas sektor. 

“Memandangkan AI dan serangan penipuan semakin bersasar dan boleh diautomasikan pada skala yang lebih besar, strategi keselamatan perlu menjadi lebih dinamik dan responsif, berpandukan risikan. Pelan hala tuju Visa memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perlindungan di sepanjang perjalanan pembayaran, daripada keselamatan siber dan pengesahan moden kepada pembayaran bertoken, proses pembayaran yang selamat serta piawaian ekosistem yang lebih kukuh. Secara keseluruhannya, keutamaan ini dapat membantu menjadikan penipuan lebih sukar dilakukan, sambil mengurangkan gangguan yang tidak perlu terhadap transaksi yang sah,” tambah Jason.

Menterjemahkan Keselamatan kepada Tindakan Bersama

Pelan hala tuju ini menyeru setiap peserta dalam ekosistem pembayaran untuk memainkan peranan yang jelas. Institusi pengeluar boleh memperkukuh proses membuat keputusan masa nyata, panduan kepada pelanggan dan pengesahan yang selamat, manakala institusi pemeroleh dan peniaga boleh menambah baik proses penerimaan, pemantauan dan keselamatan ketika pembayaran. Penyedia perkhidmatan pihak ketiga turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perlindungan data, pematuhan dan ketahanan operasi.

Pihak berkuasa kawal selia dan badan industri tetap kekal penting dalam membolehkan inovasi yang bertanggungjawab, perkongsian risikan dan penggunaan piawaian bersama. Pengguna juga boleh mengurangkan pendedahan mereka terhadap penipuan dengan menggunakan kaedah pengesahan yang selamat, mengaktifkan pemberitahuan transaksi dan sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan. 

Visa menyokong segala usaha ini melalui keupayaan risikan rangkaian global dan pengurusan risikonya. Sebagai perintis dalam penggunaan AI untuk perlindungan daripada penipuan sejak 1993, Visa kini mempunyai lebih daripada 150 model AI dan pembelajaran mesin yang digunakan dalam operasi.

Keupayaan keselamatannya termasuk Visa Advanced Authorisation untuk penilaian risiko transaksi masa nyata, Visa Consumer Authentication Service untuk pengesahan dalam talian yang selamat, Visa Provisioning Intelligence untuk membantu menangani penipuan dalam proses penyediaan token, dan Visa Protect untuk pembayaran masa nyata antara akaun.

Keupayaan ini turut disokong oleh analitik tingkah laku Featurespace, yang menganalisis lebih daripada 400 isyarat tingkah laku dalam tempoh beberapa milisaat bagi mengesan aktiviti janggal dan mengenal pasti kemungkinan penipuan dengan lebih tepat.

Visa telah melabur lebih daripada US$12 bilion dalam teknologi di peringkat global sepanjang lima tahun lalu untuk mengurangkan penipuan dan meningkatkan keselamatan rangkaian. Menerusi Visa Scam Disruption, Visa telah mengenal pasti dan mematahkan percubaan penipuan bernilai lebih daripada US$1 bilion dalam tempoh setahun, selain bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk menangkis lebih daripada 25,000 pengendali skim penipuan di seluruh dunia.

Ketika penipuan pembayaran semakin beralih daripada pencerobohan teknikal kepada manipulasi sosial dan taktik penipuan, Visa akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia, institusi kewangan, peniaga dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh ketahanan seluruh ekosistem serta menggagalkan ancaman baharu pada skala yang lebih besar.

Intipati
  • Visa Malaysia melancarkan pelan keselamatan 2026-2028 dengan enam keutamaan ekosistem pembayaran digital negara.
  • Pelan itu menekankan keselamatan siber, pengesahan biometrik, tokenisasi, e-dagang selamat dan piawaian rangkaian.
  • Visa berkata kerjasama institusi kewangan, pengawal selia, peniaga dan pengguna penting menangani penipuan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan