Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

'Wajib' Minum Kopi Sebelum Mula Kerja? Ada Perkara Penting Anda Perlu Tahu
Ada segelintir individu yang memerlukan secawan kopi untuk memulakan hari mereka dengan lebih bertenaga.
Minuman ini bukan sahaja membantu meningkatkan fokus, malah turut menjadi rutin penting dalam kehidupan harian bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi pelbagai tugas dan cabaran.
Namun, adakah meminum kopi ketika perut kosong memudaratkan atau sebenarnya sekadar mitos?
Ramai percaya kopi boleh menghakis perut jika diminum sebelum makan terlebih dahulu. Ini kerana kopi merangsang penghasilan asid dalam perut.
Menurut Healthline, kajian menunjukkan rasa pahit kopi mungkin merangsang penghasilan asid dalam perut.
Oleh itu, ramai orang percaya kopi boleh merengsakan perut, memburukkan simptom gangguan usus seperti sindrom iritasi usus (IBS), serta menyebabkan pedih ulu hati, ulser, loya, refluks asid dan ketidakhadaman.

Sesetengah pihak berpendapat minum kopi ketika perut kosong adalah lebih berbahaya kerana tiada makanan lain yang dapat melindungi lapisan perut daripada kesan asid.
Namun begitu, kajian tidak menunjukkan kaitan yang kukuh antara kopi dan masalah penghadaman sama ada diminum ketika perut kosong atau tidak.
Walaupun sebilangan kecil individu sangat sensitif terhadap kopi dan kerap mengalami pedih ulu hati, muntah atau ketidakhadaman, kekerapan dan tahap keterukan simptom ini didapati tidak berubah sama ada kopi diminum ketika perut kosong atau bersama makanan.

Bagaimanapun, adalah penting untuk memberi perhatian kepada tindak balas tubuh anda.
Jika anda mengalami masalah penghadaman selepas minum kopi ketika perut kosong tetapi tidak mengalaminya apabila diminum bersama makanan, anda disarankan untuk menyesuaikan pengambilan mengikut kesesuaian tubuh anda.
Menurut Healthline, satu lagi hujah yang sering dikemukakan ialah minum kopi ketika perut kosong mungkin meningkatkan tahap hormon stres iaitu kortisol.
Kortisol dihasilkan oleh kelenjar adrenal dan berfungsi untuk mengawal metabolisme, tekanan darah, serta paras gula dalam darah.
Namun, tahap kortisol yang terlalu tinggi secara berpanjangan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kehilangan tulang, tekanan darah tinggi, diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.
Difahamkan, tahap kortisol secara semula jadi meningkat pada waktu anda bangun tidur, kemudian menurun sepanjang hari dan meningkat semula pada fasa awal tidur.

Menariknya, kopi boleh merangsang penghasilan kortisol. Oleh itu, sesetengah pihak berpendapat bahawa minum kopi pada awal pagi ketika tahap kortisol sudah tinggi boleh memudaratkan.
Namun begitu, penghasilan kortisol sebagai tindak balas terhadap kopi didapati lebih rendah dalam kalangan individu yang kerap minum kopi, malah beberapa kajian menunjukkan tiada peningkatan kortisol langsung.
Tambahan pula, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa minum kopi selepas makan dapat mengurangkan tindak balas ini.

Selain itu, walaupun seseorang jarang minum kopi, peningkatan kortisol yang berlaku biasanya bersifat sementara sahaja.
Tiada sebab kukuh untuk percaya bahawa peningkatan jangka pendek ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang.
Secara ringkas, kesan negatif akibat tahap kortisol yang tinggi secara kronik lebih berkemungkinan berpunca daripada gangguan kesihatan seperti sindrom Cushing berbanding pengambilan kopi.
Kopi juga boleh memberi beberapa kesan sampingan negatif, tidak kira sama ada ia diminum ketika perut kosong atau tidak.
Sebagai contoh, kafein boleh menyebabkan ketagihan, dan sesetengah individu mungkin lebih sensitif terhadapnya disebabkan faktor genetik.
Ini kerana pengambilan kopi secara berkala boleh mengubah kimia otak, menyebabkan tubuh memerlukan jumlah kafein yang semakin tinggi untuk mendapatkan kesan yang sama.

Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan kebimbangan, rasa gelisah, jantung berdebar, serta memburukkan serangan panik. Ia juga boleh menyebabkan sakit kepala, migrain, dan tekanan darah tinggi dalam sesetengah individu.
Oleh itu, kebanyakan pakar bersetuju bahawa pengambilan kafein perlu dihadkan sekitar 400 mg sehari, bersamaan kira-kira 4–5 cawan (0.95–1.12 liter) kopi.
Menurut Healthline lagi, memandangkan kesannya boleh bertahan sehingga 7 jam dalam kalangan orang dewasa, kopi juga berpotensi mengganggu tidur, terutamanya jika diminum pada waktu lewat hari.

Akhir sekali, kafein boleh merentasi plasenta dengan mudah, dan kesannya boleh bertahan sehingga 16 jam lebih lama daripada biasa dalam kalangan wanita hamil serta bayi mereka.
Oleh itu, wanita hamil disarankan mengehadkan pengambilan kopi kepada 1–2 cawan (240–480 ml) sehari.