Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wakili Malaysia, Barista Nas Jaafar Menang World Brewers Cup 2026

Nas Jaafar
Gambar: World Coffee Championships

Wakili Malaysia, Barista Nas Jaafar Menang World Brewers Cup 2026

Barista Malaysia, Nas Jaafar, mencipta sejarah membanggakan apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang menjuarai World Brewers Cup 2026.

Kejayaan itu sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas industri kopi antarabangsa serta membuktikan kemampuan barista tempatan bersaing dengan yang terbaik di dunia.

Kemenangan bersejarah itu diumumkan oleh World Coffee Championships selepas Nas berjaya menewaskan lima lagi finalis dari Australia, Republik Czech, Hong Kong, Korea Selatan dan Perancis.

Pertandingan akhir World Brewers Cup 2026 itu berlangsung di Brussels, Belgium, dari 25 hingga 27 Jun lalu, sekali gus menyaksikan Nas muncul sebagai juara pertama dari Malaysia dalam sejarah kejohanan tersebut.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan bahawa bakat dan kepakaran barista Malaysia kini mampu bersaing dengan nama-nama terbaik dunia dalam seni penyediaan kopi secara manual.

Apa sebenarnya World Brewers Cup?

Untuk info, World Brewers Cup merupakan antara pertandingan pembuatan kopi paling berprestij di dunia.

Pertandingan itu memberi tumpuan kepada kemahiran peserta menyediakan kopi menggunakan kaedah penurasan manual (manual filter coffee brewing).

Pertandingan itu juga dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu compulsory service dan open service.

Bagi compulsory service, setiap peserta perlu menyediakan tiga hidangan kopi menggunakan biji kopi yang sama, yang disediakan oleh pihak penganjur.

Minuman yang dihasilkan kemudian dinilai oleh barisan juri berdasarkan beberapa aspek penting seperti aroma, rasa, tekstur (body), keseimbangan rasa dan tahap keasidan menggunakan sistem pemarkahan standard.

Sementara itu, open service memberi peluang kepada peserta untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing.

Mereka bebas memilih biji kopi kegemaran daripada pilihan yang disediakan sebelum menghasilkan minuman bersama pembentangan selama 10 minit.

Dalam pembentangan itu, peserta boleh berkongsi pelbagai aspek mengenai kopi yang digunakan. Ini termasuk asal-usul biji kopi, kaedah penyediaan serta nota rasa yang ingin diketengahkan kepada juri.

Selain itu, setiap minuman turut diuji menggunakan bacaan Total Dissolved Solids (TDS) bagi memastikan kandungan pepejal terlarut tidak melebihi had maksimum 2 peratus, sekali gus menjamin standard penyediaan kopi yang ditetapkan pertandingan.