Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang wanita tempatan berusia 43 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menyimpan air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ulu Seberang, Putatan pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira pukul 1 petang hasil maklumat risikan yang diterima.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum.
Selain itu, polis turut merampas satu karung plastik putih yang mengandungi dedaun hijau dipercayai daun ketum.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM975,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.