KULIM, 15 Sept (Bernama) -- Seorang wanita berusia 39 tahun maut akibat ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Syamsul Sinring berkata mangsa telah dibawa ke Hospital Kulim oleh keluarga dan disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam.
“Suaminya berusia 43 tahun yang merupakan penganggur, hadir ke Balai Polis Lunas pada 8.40 malam tadi dan memaklumkan dia telah menikam isterinya sebanyak 13 kali di rumah mereka.
“Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syamsul, kejadian berlaku di dalam bilik tidur utama rumah teres setingkat yang didiami suspek, mangsa dan anak mereka berusia tiga tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa disebabkan cemburu.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil. Sebanyak 11 sampel berhubung kejadian telah diambil,” katanya.
Syamsul berkata suspek mengaku telah menikam mangsa sebanyak 13 kali iaitu tujuh tikaman pada dada, lima tikaman pada perut dan satu pada rusuk kanan menggunakan pisau lipat.
“Selepas kejadian, suspek telah mandi dan mengambil anaknya daripada pengasuh sebelum menyerahkan kanak-kanak itu kepada kakaknya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.
Beliau berkata suspek ditahan pada 9 malam dan sebilah pisau lipat berukuran 20 sentimeter (cm) telah dirampas.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


