Wanita tertua di dunia, Kane Tanaka dari Jepun dilapor telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 19 April baru-baru ini, memetik laporan CNN pada semalam.
Menurut laporan, Tanaka yang memegang rekod wanita tertua di dunia setakat ini disahkan meninggal dunia pada usia 119 tahun oleh Menteri Wanita, Buruh dan Kebajikan Jepun.
Sementara itu, Rekod Dunia Guinness juga turut bersedih atas kematian Tanaka yang turut disahkan oleh perunding kanan gerontologi, Robert Young, individu yang mengesahkan rekodnya sebagai manusia tertua masih hidup pada 2019 lalu.
“Dia menjadi orang tertua yang masih hidup pada Januari 2019, ketika usia 116 tahun dan 28 hari.
“Dia juga merupakan orang kedua tertua yang pernah direkodkan, berada di belakang Jeanne Calment (Perancis) yang hidup hingga usia 122 tahun,” maklum badan rekod dunia tersebut, memetik CNN.
Dalam pada itu, menurut ahli keluarganya, wanita tersebut dilapor sering sakit dan kerap keluar-masuk hospital sejak akhir-akhir ini.
Imbas kembali, Tanaka dilahirkan pada zaman Jepun menjadi kuasa besar dunia ketika itu, iaitu 1903. Merujuk BBC, tahun kelahirannya sama dengan jurnalis, penulis dan pemikir tersohor British, George Orwell.
Pernah melalui beberapa detik penting dalam sejarah
Semasa tahun kelahirannya, Tanaka sempat hidup dalam peristiwa bersejarah seperti Wright Brothers yang melakukan penerbangan antara terawal di dunia menggunakan kapal terbang ciptaan mereka.
Zaman itu juga, acara Tour de France juga turut dianjurkan buat kali pertama, selain turut sezaman dengan pemerintahan Presiden US, Theodore Roosevelt serta era peperangan Russia – Jepun ketika itu.
Dilahirkan sebagai anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik, Tanaka akhirnya berkahwin dengan seorang pengusaha gerai mi ketika usia 19 tahun, sebelum terus bekerja di kedai keluarga sehingga usianya 103 tahun.
Difahamkan, wanita itu telah melalui pelbagai peristiwa bersejarah sepanjang hayatnya, seperti sembuh dua kali daripada kanser, era wabak Spanish Flu pada 1918, terselamat dalam dua perang dunia serta pandemik COVID-19.

Ketika 1937 lalu, dia pernah berasa sedih kerana tidak sempat bertemu dengan suaminya semasa ulang tahun perkahwinan mereka. Dalam masa sama, anaknya juga turut ditahan dan menjadi tawanan Soviet Union semasa Perang Dunia Ke-2.
Sebelum ini, Tanaka yang sepatutnya mengambil bahagian dalam larian obor di Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung tahun lepas tidak berkesempatan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda.
Difahamkan, ketika di penghujung usianya, dia banyak menghabiskan masa di sebuah rumah jagaan warga emas di Fukuoka dengan melakukan pelbagai aktiviti ketika waktu terluang seperti mengira matematik dan membuat kaligrafi.
Menurut BBC lagi, sewaktu dalam majlis pengiktirafannya sebagai orang tertua di dunia pada 2019 lalu, Tanaka berkata bahawa dia sangat gembira berbanding sebelum ini.
Untuk rekod, Jepun merupakan negara yang mempunyai penduduk paling tua di dunia. Secara puratanya, lebih daripada satu perempat penduduk di Jepun berumur 65 tahun ke atas.
Selain itu, negara matahari terbit itu juga agak terkenal dengan diet dan penjagaan kesihatan. Malah masih ramai orang tua masih bekerja hingga lewat usia.
Setelah kematian Tanaka, kini rekod orang tertua di dunia dipegang oleh Lucile Randon, seorang biarawati Perancis yang berusia 118 tahun.
Untuk rekod manusia tertua yang pernah hidup di dunia masih dipegang oleh wanita yang berasal dari Perancis, Jeanne Louise Calment, yang meninggal dunia pada usia (122 tahun 164 hari) pada tahun 1997.
Sumber: BBC News
