Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Warga Emas Mangsa ‘Phone Scam’, Wang Simpanan Lebih RM300,000 Lesap
Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang simpanannya melebihi RM300,000 lesap setelah menjadi mangsa ‘phone scam’, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pada 6 Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Jelas beliau, suspek mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan termasuk dalam senarai suspek yang akan ditangkap.
Selain itu, suspek turut menyatakan bahawa semua aset dan wang milik mangsa akan dibekukan.
“Suspek kemudiannya meminta wanita terbabit menyerahkan maklumat perbankan akaun bank milik mangsa kononnya bagi tujuan siasatan pihak Jabatan Audit Negara.
“Pada 19 Mei, mangsa telah membuat pindahan wang ke dua akaun yang berbeza secara berperingkat sebanyak RM66,050.
“Isnin lalu, mangsa membuat semakan melalui sistem perbankan dalam talian dan mendapati pengurangan wang sebanyak RM244,945.78 dalam akaun banknya dan menjadikan keseluruhan kerugian RM310,995.78,” katanya.
Dilaporkan, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
Orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan dengan pihak berkaitan jika diarahkan untuk melakukan apa-apa urusan yang meragukan.
BACA: Kes Baling Pasu Balai Polis Serdang: Dua Remaja Lelaki Ditahan Polis
Sumber: Sinar Harian