Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Koleksi maritim yang tersimpan di muzium bukan sekadar himpunan artifak bersejarah, sebaliknya menjadi bukti penting kepada perkembangan tamadun, perdagangan dan pertukaran budaya yang membentuk peradaban Alam Melayu sejak berabad-abad lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, khazanah berkenaan mempunyai nilai penyelidikan yang amat besar dan perlu terus diteroka bagi memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap sejarah negara serta rantau ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Forum Kurator Perdana – Merentas Lautan Alam Melayu: Koleksi Maritim Sebagai Saksi Peradaban dan Pertukaran Budaya di ibu negara, hari ini.
Katanya, forum berkenaan merupakan platform utama Jabatan Muzium Malaysia yang menghimpunkan kurator, penyelidik serta pengamal warisan untuk berkongsi hasil penyelidikan, bertukar pandangan dan membincangkan isu-isu semasa dalam bidang permuziuman.
“Sebagai institusi yang bertanggungjawab memelihara khazanah warisan negara, penyelidikan menjadi asas kepada setiap fungsi Jabatan Muzium Malaysia.
“Sama ada dalam pemerolehan koleksi, pendokumentasian, konservasi, pembangunan pameran mahupun penerbitan, semuanya perlu disokong oleh penyelidikan yang sistematik, sahih dan berintegriti,” katanya.
Menurut beliau, forum tersebut turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan selain merangsang percambahan idea yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor permuziuman negara.
Kamarul berkata, Forum Kurator mula diwujudkan sekitar tahun 2000 hingga 2001 dengan mewajibkan setiap kurator menjalankan penyelidikan mengikut bidang pengkhususan masing-masing sebelum hasil kajian dibentangkan kepada umum.
Menurutnya, skop forum itu kemudiannya diperluaskan dengan penglibatan penyelidik luar serta kurator daripada muzium lain bagi memperkayakan perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran.
Katanya, tema “Merentas Lautan Alam Melayu: Koleksi Maritim Sebagai Saksi Peradaban dan Pertukaran Budaya” dipilih bagi membuka ruang perbincangan mengenai kekayaan warisan maritim negara serta potensinya sebagai sumber penyelidikan yang bernilai.
Beliau berkata, Malaysia memiliki pelbagai koleksi maritim meliputi artifak perdagangan, tinggalan kapal karam, peralatan pelayaran, teknologi pembinaan kapal serta bahan arkeologi yang menggambarkan hubungan erat masyarakat Alam Melayu dengan tamadun dunia.
“Setiap artifak mempunyai kisah tersendiri yang mampu memperkayakan pemahaman kita terhadap sejarah perdagangan, pelayaran, hubungan diplomatik dan perkembangan budaya di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata peranan kurator kini semakin mencabar apabila bukan sahaja bertanggungjawab mengurus koleksi, malah berfungsi sebagai penyelidik, pendokumentasi, pencerita sejarah serta penyampai ilmu kepada masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan kompetensi warga muzium perlu terus diperkasakan melalui penyelidikan, latihan, penerbitan ilmiah dan jaringan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi, agensi penyelidikan serta institusi permuziuman di dalam dan luar negara.
Beliau berharap forum itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi penyelidikan, penerbitan bersama, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek ilmiah yang mampu mengangkat kecemerlangan institusi permuziuman negara.
Pada masa sama, Kamarul turut merakamkan penghargaan kepada semua panel, moderator, urus setia serta jawatankuasa pelaksana yang menjayakan penganjuran Forum Kurator Perdana 2026.
Katanya, beliau berharap forum berkenaan akan menjadi titik tolak kepada penghasilan lebih banyak penyelidikan berkualiti, penerbitan ilmiah serta jaringan kerjasama yang mampu memperkukuhkan peranan Jabatan Muzium Malaysia sebagai institusi rujukan dalam bidang permuziuman dan warisan negara.