Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

YouTuber Terkenal "Outdoor Boys" Tular Memancing Di Malaysia
Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai tarikan yang menjadi perhatian ramai dari seluruh dunia.
Selain popular sebagai destinasi pelancongan dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan makanan yang unik, rasanya tidak keterlaluan untuk katakan bahawa Malaysia juga 'syurga' buat kaki pancing.
Dari laut dalam, pulau-pulau, muara hinggalah ke tasik dan sungai, negara ini menawarkan pelbagai lokasi yang menjadi impian pemancing tempatan mahupun luar negara.
Baru-baru ini, satu video tular di media sosial berjaya mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan peminat dunia memancing dan pengikut YouTube.
Mana tidaknya, YouTuber terkenal Outdoor Boys, Luke Nichols, dilihat sedang memancing di Malaysia bersama anaknya, Tom.
Apa yang lebih membanggakan, mereka bukan sekadar datang bersiar-siar, malah dibawa memancing oleh seorang kaki pancing dari Malaysia.
Menerusi perkongsian di TikTok @_shahdaus_, lelaki itu mengakui sehingga kini dia masih sukar mempercayai pengalaman yang dilaluinya.
Menurutnya, dia tidak pernah menyangka akan berpeluang membawa Luke dan Tom daripada saluran YouTube Outdoor Boys keluar memancing dipercayai di Empangan Kelau.
"Masih cuba hadam apa yang berlaku...
"Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa suatu hari nanti saya akan berpeluang membawa Luke dan Tom daripada Outdoor Boys memancing bersama.
"Menonton pengembaraan mereka di internet sudah cukup mengujakan, tetapi dapat membawa mereka menaiki bot saya dan menghabiskan masa memancing bersama benar-benar terasa seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan.
"Saya berasa amat bersyukur, rendah diri dan, sejujurnya, masih terkejut kerana hobi memancing telah membawa saya sejauh ini.
"Terima kasih atas kenangan yang begitu bermakna, tuan-tuan. Ia benar-benar satu penghormatan buat saya," tulisnya.
Meninjau ruangan komen, ramai netizen mula membanjiri video berkenaan dengan pelbagai soalan.
Ada yang ingin tahu bagaimana pertemuan itu boleh berlaku, manakala tidak kurang juga yang mahu mengetahui pengalaman sebenar sepanjang membawa YouTuber terkenal itu memancing di Malaysia.
Menyedari ramai yang ingin mengetahui kisah di sebalik video tersebut, @_shahdaus_ memaklumkan dia akan berkongsi cerita penuh tidak lama lagi.
"Terima kasih banyak kepada semua yang menonton, menyukai, meninggalkan komen dan berkongsi video ini. Saya amat menghargai setiap seorang daripada anda.
"Ramai yang bertanya bagaimana pengalaman saya membawa Luke dan Tom dari Outdoor Boys memancing di Malaysia. Jadi jangan risau, saya akan kongsikan keseluruhan cerita serta pengalaman di sebalik perjalanan yang tidak akan saya lupakan itu dalam video saya yang seterusnya.
"Ada banyak momen menarik yang tidak sempat dimuatkan dalam video pertama, dan saya tidak sabar untuk berkongsi semuanya dengan anda. Nantikan," tambahnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja apabila melihat Luke Nichols berada di Malaysia.
Bagi peminat setia saluran Outdoor Boys, kemunculan YouTuber itu di negara ini dianggap sesuatu yang tidak disangka-sangka.
Malah, ada yang terus bertanya sama ada Luke dan keluarganya masih berada di Malaysia kerana berharap dapat bertemu atau terserempak dengan mereka.
Bagi mereka yang gemar menonton kandungan aktiviti luar, nama Outdoor Boys sememangnya tidak asing lagi.
Saluran YouTube yang dikendalikan oleh Luke Nichols bersama keluarganya itu terkenal dengan kandungan berkaitan aktiviti lasak. Contohnya, perkhemahan, bushcraft, memancing, memasak di hutan dan pelbagai cabaran survival di lokasi-lokasi terpencil.
Luke sering ditemani isterinya, Rebecca, serta tiga anak lelaki mereka dalam menghasilkan video yang mendapat tontonan berjuta-juta daripada peminat di seluruh dunia.