Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Zoo Tawar Gaji RM60,000 Setahun Kepada 'Beruang'
Sebuah zoo di wilayah Henan, China, mencuri perhatian ramai selepas menawarkan jawatan unik sebagai pelakon berkostum beruang hitam dengan gaji tahunan sebanyak 100,000 yuan (kira-kira RM60,000).
Iklan jawatan yang disiarkan oleh Luohe Wildlife Zoo pada 13 Jun lalu itu pantas menjadi tular di media sosial kerana syarat tugasnya yang dianggap 'luar biasa' dan menghiburkan.
Menurut laporan media tempatan, calon yang berjaya perlu memakai kostum beruang hitam, berkeliaran di sekitar zoo serta berinteraksi dengan pengunjung sepanjang waktu bekerja.
Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan bercakap ketika bertugas. Sebaliknya, mereka hanya boleh mengeluarkan bunyi seperti dengkuran beruang, kecuali jika berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan.
Zoo itu tidak menyatakan sama ada kostum berkenaan dilengkapi kipas atau sistem pengudaraan. Iklan tersebut hanya menyifatkannya sebagai kostum yang "lembut".
Jawatan itu terbuka kepada lelaki dan wanita berusia sekurang-kurangnya 18 tahun serta memiliki tahap kesihatan yang baik.
Waktu bekerja ditetapkan selama enam jam sehari dengan empat hari cuti setiap bulan.
Lebih menarik, pelakon beruang itu juga perlu bersikap terbuka menerima sebarang makanan atau minuman yang ditawarkan oleh pengunjung.
Pihak zoo turut menggambarkan jawatan tersebut sebagai antara pekerjaan paling santai di premis itu.
"Jika penat, anda boleh berbaring dan berkhayal. Jika bertenaga, anda boleh melompat, menari, memanjat pokok atau menangkap ikan. Lakukan apa sahaja yang membuatkan anda selesa," menurut iklan tersebut seperti dilapor SCMP.
Malah, pihak zoo menjelaskan pekerjaan itu sesuai untuk individu yang peramah mahupun pendiam kerana mereka tidak perlu berkomunikasi secara lisan dengan pengunjung.
"Anda boleh beraksi dengan cara yang paling pelik sekali. Semakin luar biasa gelagat anda, semakin popular anda," tambah iklan itu.

Menurut jurucakap zoo kepada media tempatan, semua kekosongan berjaya diisi hanya dalam tempoh beberapa hari selepas iklan disiarkan, dengan lebih 100 permohonan diterima.
Bagaimanapun, pihak zoo tidak mendedahkan jumlah sebenar individu yang diambil bekerja.
Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa pelakon beruang yang berjaya meraih populariti di media sosial berpotensi memperoleh pendapatan melebihi gaji asas tahunan yang ditawarkan.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang pekerjaan unik kepada golongan muda, malah berpotensi membantu zoo menjana sumber pendapatan baharu.
Zoo yang mendapat sokongan pelaburan kerajaan tempatan itu mula beroperasi pada awal Mei lalu.
Di media sosial, kisah tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna internet.