Siakap Keli

Crotia ‘Tendang’ Messi Dan ‘Sepak’ Impian Piala Dunia Argentina

Apa sudah jadi dengan Argentina? Seri pada perlawanan pertama menentang negara kecil Iceland, dan ayam tambatannya gagal sempurnakan penalti. Kini, Messi dan Argentina sekali lagi dirundum  malang apabila tewas tanpa melawan di tangan Crotia pula. Kecewa menentang Iceland, jutaan rakyat Argentina pasti mengharapkan kemenangan ketika skuad kebangsaan mereka turun beraksi pagi tadi.

Tipulah jika Mesi tidak merasa tertekan dengan prestasi rakan pasukannya ketika beraksi dalam perlawanan pembukaan kumpulan tersebut. Apatah lagi ketika turun menentang Crotia, rivalnya Ronaldo yang beraksi bersama Real Madrid sudah menjaringkan 4 gol dalam dua perlawanan awal. Lihat sahaja wajah Messi yang sempat dirakam oleh kamera sebelum sepak mula menentang Crotia.

Wajah yang sugul, tidak bersemangat dan menggosok dahi. Apa yang Messi sedang fikirkan? Siapapun di tempat Messi, pasti merasa tekanan yang begitu besar di pentas sebesar itu. Harapan Piala Dunia 44 juta rakyat Argentina dan penyokong-penyokong Argentina dari seluruh dunia seolah-olah dipikulnya seorang diri. Hatrik lawan Sepanyol dan 1 gol memecahkan rekod Eropah ketika menentang Magribi, Ronaldo seolah-olah memaksa media memberi tumpuan kepada Messi, apa yang boleh Messi dan Argentina buat di pentas Piala Dunia kali ini.

Namun yang nyata, Argentina terus longlai dengan kelemahan bahagian pertahanan dan penjaga gol nombor 2 Chelsea, Willy Caballero turut melakukan ‘bantuan gol’ pada minit ke 53 untuk jaringan pertama Crotia oleh Ante Rebic. Dan baki minit perlawanan selepasnya, jelas memperlihatkan barisan pertahanan kepercayaan Jorge Sampaoli terus memberi masalah kepada pasukan mereka sendiri. Malah, aksi Messi sendiri pun tidak menyakinkan. Sejam pertama, Messi hanya melakukan 15 hantaran sahaja. Tamat perlawanan, percaya atau tidak, Caballero melakukan 36 hantaran, lebih lima daripada Messi. Messi ibarat penumpang dalam perlawanan kali ini.

‘Selepas mereka menjaringkan gol, emosi pasukan kami terus runtuh,” itulah kata-kata yang diluahkan oleh Sampaoli sendiri.

Jika ingin dilihat daripada konteks yang lebih besar, apa yang dipersembahkan oleh Argentina pagi tadi lebih memalukan. Kekalahan 3 gol tanpa balas ini adalah kekalahan terbesar Argentina dalam peringkat kumpulan selepas tewas 1-6 kepada Czechoslovakia pada tahun 1958. Malah, ini adalah kali pertama Argentina gagal memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia dalam tempoh 44 tahun. Ketika Ronaldo bersama Portugal mencatat sejarah dan memecah rekod baru, Messi dan Argentina turut melakukan perkara yang sama. Cuma yang berbeza, rekod Messi dan Argentina pasti tidak mahu diingati.

Bekas rakan pasukan Messi di Argentina, Cesc Fabregas yang dijemput menjadi pengulas di BBC One turut terkejut dengan persembahan Argentina kali ini.

‘Ianya terlalu sukar buat Messi. Dia tidak mempunyai sokongan yang berkualiti daripada pasukan. Messi pasti merindui kelibat Ever Banega atau Giovani lo Celso.

”Dia perlukan seseorang yang mampu membantunya membina permainan. Anda mahukan pemain terbaik dalam pasukan untuk memiliki bola di kaki seberapa lama yang boleh,” katanya.

Febregas turut memberitahu bahawa Argentina ketika ini adalah sebuah pasukan yang sedang berpecah. Mereka seolah-olah sedang beraksi menentang sesama sendiri, bukannya beraksi bersama-sama.

”Saya tidak ingat bila kali terakhir Argentina beraksi seperti ini. Pasukan kelihatan sangat lemah. Permainan mereka mudah diramal dan tidak menghasilkan apa-apa,” kata Pablo Zabaleta yang beraksi di final Piala Dunia 2014 menetang Jerman.

Kekalahan ini nyata membangkitkan kembali persoalan terhadap pemilihan skuad oleh Sampaoli. Sebelum ini dia dikritik apabila mengenepikan Mauro Icardi yang beraksi cemerlang di Seria A musim lepas dan menyumbat 29 gol untuk Inter Milan. Malah, Paulo Dybala yang menjadi bersama Juventus, menjaringkan 22 gol hanya diletakkan di bangku simpanan dalam kedua-dua perlawanan.

Meminggir dan meletakkan dua pemain terbaik Argentina, selain Messi di luar padang, nyata ia memberi kesan kepada permainan Messi pagi tadi. Messi hanya melakukan 49 sentuhan bola sahaja dan perlu menunggu hingga ke minit 62 untuk melakukan percubaan ke gawang Crotia.

”Saya bersimpati dengan Messi. Ini mungkin peluang terakhirnya untuk memenangi trofi bersama Argentina. Jadi, saya tidak terkejut jika Messi sekali lagi mengambil keputusan untuk bersara di pentas antarabangsa.

”Dia pasti merasa amat kecewa jika perlu menunggu empat tahun lagi di Qatar,” tambah Zabaleta.

Namun, bekas penyerang Argentina, Hernan Crespo berkata bahawa Messi tidak memerlukan trofi major bersama skuad antarabangsa untuk diiktiraf sebagai pemain gebat.

”Ramai pemain hebat yang kita kenali tidak pernah memenangi Piala Dunia. Messi pasti pemain yang hebat jika berjaya memenangi Piala Dunia, jika tidak pun, Messi tetap pemain yang hebat.

”Berapa ramai pemain hebat gagal menjulang Piala Dunia? Saya tidak ingat Johan Cyuff dan Platini melakukannya,” kata Crespo.

Sumber : BBC, The Guardian, NY Times

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.