Siakap Keli

Kes Bunuh Pemandu Grab, Polis Tahan Warga Myanmar Bantu Siasatan

Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, setelah hilang sejak Khamis dan gagal dikesan. Mayat mangsa kemudian ditemui dengan kesan jerutan pada leher di Selayang pada Sabtu lepas.

Susulan kejadian tersebut, pihak berkuasa menahan dua warga asing berbangsa Myanmar bagi membantu siasatan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Tey Kong Seng, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, dengan usia dalam lingkungan 20-an dan 30-an di sekitar Selayang pada pukul 1 pagi tadi.

“Siasatan lanjut masih dilakukan dan kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Ujar beliau, pihak polis berjaya mengesan pelanggan terakhir yang dipercayai dibawa oleh mangsa setelah mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan perkhidmatan e-hailing GrabCar tersebut.

Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa mendapati bahawa mangsa mati akibat sesak nafas dipercayai dicekup menggunakan baju-T miliknya walaupun mayat mangsa ditemui dengan kesan jerutan pada leher.

Pihak polis ketika ini masih menyiasat motif pembunuhan tersebut, namun siasatan awal pihak berkuasa mendapati dompet dan telefon bimbit milik mangsa hilang dalam kejadian itu.

Sabtu lepas, mayat Aiman ditemui dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher di dalam kereta Perodua Myvi milik mangsa. Mayat mangsa di temui di parkir Taman Selayang Makmur kira-kira pukul 8.20 malam Sabtu lepas.

Berdasarkan rekod, Aiman dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Satu komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di