Siakap Keli

(Video) Sindrom Tall Poppy, Penyakit Tak Bersimptom Tanpa Sedar ‘Serang’ Rakyat Malaysia

Sindrom Tall Poppy ini mungkin satu istilah yang sangat asing buat pembaca-pembaca kami, tetapi kami sangat yakin ramai daripada rakyat Malaysia tanpa sedar ‘menghidapi’ sindrom ini. Ia tidak bertanda dan tidak berbahaya, tiada ubat dan tak perlu dirawat, tidak berjangkit dan jauh sekali boleh diwarisi. Jadi sindrom apa ini?

Apakah Itu Sindrom Tall Poppy?

Sindrom pada awalnya dikaitkan dengan masyarakat di Australia. Jadi boleh disimpulkan bahawa sindrom ini pertama kali muncul di negara benua tersebut. Sindrom Tall Poppy ini merujuk kepada sikap dan kecenderungan orang Australia yang gemar menjatuh, meremeh-remeh dan merendah-rendahkan seseorang di dalam komuniti yang mendapat kejayaan atau mempunyai nama.

Orang Australia secara umumnya, cukup pantang sekiranya ada seseorang yang berjaya mencapai sesuatu lebih daripadanya. Sejarah sindrom ini boleh dijejak kembali sehingga tahun 1871. Ia pertama kali disebut di dalam sebuah akhbar yang membawa cerita mengenai Ketua Setiausaha dalam kerajaan era Victoria yang membawa masuk ‘tall popy’ ke dalam kerajaan. Ketika itu, istilah ‘Tall Poppy’ merujuk kepada individu-individu kelas tinggi yang berpendidikan dan berjawatan besar.

Namun kini, istilah ‘tall poppy’ atau ‘‘cutting the tall poppies down to the size” dikaitkan dengan sikap iri hati dan tidak senang seseorang kepada kejayaan dicapai oleh individu-individu lain.

Perkembangan

Istilah ”tall poppy” terus berkembang dalam komuniti Australia apabila beralih daripada merujuk individu-individu elit dalam kerajaan kepada golongan seleberiti dan profesional-profesional yang meraih kejayaan signifikan sama ada di dalam atau di luar negara.

”Tall Poppy” ini adalah manifestasi bagaimana orang-orang Australia memberi reaksi apabila mendapat tahu ada seseorang memperoleh kejayaan yang dianggap luar biasa dalam masyarakatnya, lebih-lebih lagi jika orang itu meraih penghormatan tersebut tanpa bersusah payah atau tidak menunjukkan usaha yang gigih.

Sindrom ini semakin menjadi-jadi kini akibat perkembangan media sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Buka sahaja Twitter dan Facebook, anda pasti akan terjumpa dengan status atau tweet yang menghentam individu tertentu. Misalnya apa yang terjadi kepada salah seorang pelajar cemerlang negara suatu ketika dahulu yang tidak perlu kami sebutkan nama, walaupun dia sudah berjaya dan bergelar doktor perubatan selain membuat pelbagai sumbangan melalui kajian yang dilaksanakannya, orang ramai lebih tertarik untuk mengkritik penampilannya yang boleh dianggap sebagai satu ”pembunuhan karakter”.

Dari Kecil Lagi

Anda mungkin silap jika menganggap sindrom ini hanya menimpa mereka yang sudah dewasa. Sebenarnya, jika anda cuba imbas kenangan sekolah anda, lebih-lebih lagi jika anda pelajar yang cerdik dan meraih kejayaan dalam akademik atau aktiviti luar bilik darjah, tidak mustahil anda pernah mendengar cakap-cakap belakang daripada pelajar lain yang tidak senang dengan pencapaian anda.

Tapikan, anda lebih mudah menjadi mangsa serangan ”tall poppy” sekiranya anda adalah seorang perempuan, antara faktornya adalah sikap tabu yang masih menebal dalam masyarakat. Anda mungkin pernah mendengar dialog, atau menjadi mangsa sendiri kepada dialog-dialog sebegini ”Belajar tinggi-tinggi pun buat apa, tempat perempuan kat dapur”, ”Belajar tinggi tapi tak taat suami tak guna juga” atau ”Kerja itu lebih sesuai dengan lelaki, kenapa perempuan nak sibuk?”. Ada banyak lagi cakap-cakap yang kami yakin anda pernah dengar kan?

Penyakit Hati?

Boleh jadi. Yela, kalau anda tidak ada penyakit hati mungkin anda tidak berminat untuk menyerang peribadi atau bercakap keburukkan orang lain kan? Apa kata anda cuba positif dan mula mengucapkan tahniah, tak kisahlah anda kenal atau tidak jika mereka mencapai sesuatu kejayaan. Boleh kan?

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=OpQhUSHl30U]

 

Sumber : Oxford Dictionaries

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.