Siakap Keli

”Ini Adalah Berita Palsu”, KKM Nafi Dakwaan Seorang Lelaki Bahawa Dr. Ilyani Telah Dipindahkan

Sejak beberapa hari lalu, tanah air digamatkan dengan isu mengenai kemungkinan seorang pengamal perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang mengutus surat terbuka kepada seorang aktivis, Datin Marina Mahathir dikenakan tindakan tatatertib oleh majikannya.

Terdahulu, kandungan surat terbuka tersebut yang menyentuh mengenai kebimbangannya mengenai pergerakkan LGBT sekiranya dibiarkan berleluasa di Malaysia telah menimbulkan rasa kurang senang pihak-pihak tertentu yang kemudian membuat aduan terhadap beliau kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Ketika kes membabitkan Dr. Ilyani masih lagi belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tindakan seorang individu ini menyebarkan berita palsu adalah keterlaluan dan seolah-olah menangguk di air keruh serta mempunyai kepentingan peribadi.

Lelaki tersebut melalui kemas kini di laman facebooknya (yang kemudian dipadamkan) mendakwa bahawa Dr. Ilyani telah diarahkan untuk berpindah daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ke Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) Putrajaya.

Bagaimanapun, kemas kini yang dimuat naik oleh lelaki tersebut telah pun disahkan palsu oleh KKM melalui satu tweet di akaun rasmi Twitter KKM.

”Ini adalah berita palsu terbaharu,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berdasarkan tweet tersebut.

Malah, Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan turut mengulangi kenyataan yang sama sekali gus menafikan penularan berita tidak benar yang dibuat lelaki tersebut.

Diharapkan orang ramai tidak berterusan menyebarkan berita palsu seperti ini kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mengeruhkan lagi keadaan.

Sumber : Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.