Siakap Keli

Lelaki Cedera Parah Diserang Buaya Ketika Memancing, Tunggang Motosikal Bersendirian Ke Hospital Di Kuantan

KUANTAN- Seorang lelaki mengalami cedera parah selepas dilaporkan diserang seekor buaya ketika berada di tebing sungai berhampiran Kampung Kurnia, Batu 3 di Kuantan, Jumaat lalu.

Dalam insiden yang berlaku  kira-kira 4 pagi itu, Hamid Mohd Ismail, 42 yang  beralamat di rumah kedai Kampung Kuala Pahang, Pekan cedera pada bahagian muka dan dada.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang Ahmad Azhar Mohammed  mengesahkan kejadian namun berkata kes masih dalam siasatan.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan baru sedar tengah hari tadi dan kita telah mengambil keterangan dan maklumat awal berkaitan mangsa dan kejadian.

“Mangsa mendakwa dirinya seorang nelayan dan pergi ke kawasan berkenaan untuk memancing sebelum diserang reptilia tersebut ketika mahu mengambil air di tebing sungai,” katanya.

Jelasnya, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri daripada buaya tersebut dan menunggang motosikal bersendirian ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam keadaan cedera.

“Mangsa dilaporkan pengsan sebaik tiba di hospital dan kini masih menerima rawatan,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya lagi, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak dapat menceritakan dengan lebih jelas tentang kejadian itu kerana masih dalam keadaan lemah dan trauma.

“Perhilitan sedang membuat pemantauan di kawasan kejadian selain memberi taklimat berkenaan keselamatan kepada penduduk di kawasan sekitar,” katanya.

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar