Siakap Keli

300 Hadiri Perhimpunan Keturunan Datuk Jenaton Kali Kelapan

ALOR SETAR, 1 Sept (Bernama) – Seramai 300 waris peneroka terawal Pulau Pinang Datuk Jenaton Raju Labu, dari Indonesia dan Semenanjung mengadakan perhimpunan Keluarga Datuk Jenaton buat kali kelapan di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keluarga Besar Datuk Jenaton Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata perhimpunan itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim selain dapat mengetahui pertalian hubungan persaudaraan antara anggota keluarga besar tersebut.

“Keturunan keluarga kami besar iaitu lebih 5,000 orang dan jika dicampur dengan pasangan dan anak-anak kemungkinan melebihi dari 10,000 orang dan jumlah itu bukanlah di Malaysia sahaja, ia meliputi Singapura, Brunei, Indonesia dan Eropah.

“Sebab itu, kita adakan perhimpunan ini untuk bertemu antara satu sama lain dan ia penting untuk kita ketahui hubungan sesama sendiri. ​​​​Tambahan pula, keluarga ini sudah sampai ke generasi yang ke-10 dan penting untuk anggota keluarga tahu mengenai salasilah keluarga terutamanya generasi baru yang masih muda,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan itu.

Beliau juga memaklumkan perhimpunan keluarga Datuk Jenaton akan datang bakal diadakan di Batu Bara, Sumatera Utara, Indonesia pada 2020 bagi memastikan hubungan kekeluargaan dapat terus dikekalkan terutamanya dalam kalangan generasi muda keluarga itu.

“Anggota keluarga Datuk Jenaton ini sangat ramai dan mereka tinggal bertebaran merata tempat dan negara, jadi kami merancang perhimpunan akan datang dibuat di Indonesia. Sekaligus keluarga daripada Malaysia dapat mempelajari budaya dan kesenian dari keluarga Datuk Jenaton di sana.

“Menerusi perhimpunan ini, anggota keluarga dapat berkenalan antara satu sama lain. Walaupun jarak jauh memisahkan tetapi kita akan cuba dekatkan semula melalui perjumpaan seperti yang kita adakan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Murad berkata di peringkat perancangan pihaknya bercadang untuk menubuhkan satu Yayasan Datuk Jenaton sebagai saluran bagi menganjurkan perhimpunan di samping menggunakannya untuk menjalankan penyelidikan projek berkaitan warisan.

“Kita boleh gunakan yayasan ini untuk membuat kajian dan menerbitkan buku. Ini kerana melalui pendidikan ia dapat memberi kesedaran kepada anak muda tentang kepentingan mengetahui asal usul keturunan serta salasilah keluarga bagi menanam identiti diri mereka,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.