Siakap Keli

Mimpi Ngeri Kanak-kanak 7 Tahun, Ayah Tembak Mak Sampai Mati Depan Mata Sebelum Bunuh Diri Sendiri

Seorang pegawai polis menembak mati isterinya sebelum bertindak membunuh diri sendiri di hadapan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di Sungai Golok di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand.

Menurut polis, kejadian pada 5.50 petang semalam (waktu tempatan) itu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.

“Kanak-kanak tersebut yang masih berpakaian sekolah ditemui di tempat duduk belakang kereta berkenaan dalam keadaan ketakutan dan menangis,” kata Ketua Polis Daerah Sungai Golok Kol Prayuth Ponsanti kepada pemberita.

Pegawai polis terbabit dikenali sebagai Kapt Boonyawat Trakulprom, 28, dan bertugas di Mahkamah Narathiwat manakala isterinya pula dikenali Nattanan Trakulprom, 30, ialah seorang guru.

Nattanan masih memakai pakaian seragam guru ketika mayatnya yang berlumuran darah ditemui dalam kereta itu.

Gambar Hiasan

Mayat Nattanan ditemui di tempat duduk penumpang manakala mayat suaminya di tempat duduk pemandu.

Prayuth berkata anak perempuan pasangan itu memberitahu polis, ibu bapanya bertengkar dalam kereta sebelum bapanya mengeluarkan pistol dan menembak ibunya sebelum menembak dirinya sendiri.

Menurutnya kelongsong peluru yang ditemui dalam kereta terbabit adalah daripada pistol Boonyawat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.