Siakap Keli

Ulama Tersohor Negeri Sembilan Dan Malaysia Meninggal Dunia

Sebuah portal berita atas talian berbahasa Melayu hari ini melaporkan ulama tersohor Negeri Sembilan dan negara yang juga Murshid Tarbiah Ruhiyyah, Tarekat dan Tasawwuf Ahmadiah Idrisiyyah, Syeikh Mohd Paiz Sheikh Ahmad, 79, telah meninggal dunia.

Allahyarham Syeikh Mohd Paiz dikatakan meninggal dunia di rumah ibunya di Kampung Pondok Rasah, Seremban kira-kira jam 5 petang, semalam.

Portal berita tersebut yang melaporkan anak saudara Allahyarham, Mohd Tariq Mohd Kamal berkata, ulama tersohor tersebut sebelum itu dirawat di Hospital Columbia di Oakland sebelum dibenarkan keluar pada jam 4 petang, hari yang sama.

Allahyarham yang merupakan adik kepada bekas Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Murtadha dilaporkan telah menerima rawatan sejak pagi semalam di hospital berkenaan akibat kegagalan fungsi paru-paru.

Menurut Mohd Tariq, jenazah bapa saudaranya akan disembahyangkan hari ini pada pukul 12 tengah hari dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd Said selepas Zohor.

Ujar Tariq lagi seperti dilaporkan portal berita berkenaan, Allahyarham yang menghidapi sakit tua sejak setahun lalu meninggalkan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Melalui perkongsian yang dimuat naik oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham menyifatkan ia sebagai kehilangan besar kepada dunia tarbiah ruhiyyah, tarekat dan tasawwuf (khususnya Ahmadiyyah Idrisiyyah) di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya.

AL-Fatihah.

Sumber : Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.