Siakap Keli

Najib Dan Guan Eng Dipanggil PAC Beri Keterangan Kes Hasil Kutipan GST ‘Hilang’

Sebuah portal berita tempatan atas talian berbahasa Melayu hari ini melaporkan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendapatkan maklumat mengenai dakwaan kehilangan RM 19.25 bilion daripada Tabung Bayaran Balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Lapor berita berkenaan lagi, Najib akan dipanggil memberi keterangan pada 17 Oktober diikuti Lim Guan Eng pada 22 Oktober berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PAC, Datuk Ser Ronald Kiandee.

Portal berkenaan juga melaporkan bahawa PAC akan memanggil sekali lagi bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah untuk memberi keterangan pada 16 Oktober.

PAC dalam kenyataan berkenaan juga dilaporkan berharap dapat membuat rumusan serta memberi cadangan kepada kerajaan sebaik sahaja ketiga-tiga individu berkenaan selesai memberi keterangan.

Portal berita yang sama juga melaporkan bahawa dua bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah dipanggil memberi keterangan semalam.

Sebuah portal berita berbahasa Melayu yang lain sebelum ini pernah melaporkan bahawa Guan Eng telahpun diambil keterangan oleh polis di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan kes kehilangan wang berbilion ringgit tersebut.

Sebelum ini, Najib dilaporkan pernah mencabar Guan Eng untuk membuat laporan polis mengenai pendedahan yang dibuatnya mengenai wang kutipan GST yang ‘dirompak’ oleh kerajaan Barisan Nasional.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.