Siakap Keli

Thailand Antara Negara Rekod Kehilangan Pasport Malaysia Tertinggi

Thailand antara negara yang merekodkan kehilangan pasport Malaysia paling tinggi dengan 90 peratus kehilangan dokumen itu dilaporkan berlaku di kawasan beli-belah utama di sekitar bandar raya ini.

Tahun lepas, sebanyak 124 pasport Malaysia dilaporkan hilang di negara ini manakala bagi tahun ini sehingga September lalu pihak Kedutaan Malaysia di sini menerima laporan 87 keping dokumen tersebut hilang daripada simpanan pemiliknya.

“Kebanyakan kehilangan pasport negara ini berlaku di Pratunam, sebuah kawasan beli-belah terbuka  yang terkenal di tengah-tengah kota Bangkok. Kehilangan (pasport) juga berlaku di Chatuchak (pasar mingguan terkenal),” demikian menurut sumber kedutaan kepada Bernama baru-baru ini.

Sumber yang memohon identitinya tidak didedahkan atas faktor bidang kuasa, berkata punca utama kehilangan pasport ialah kecuaian pemegang sendiri yang kadangkala terlalu leka membeli-belah  sehingga  tidak sedar dokumen itu hilang.

“Kerap kali rakyat Malaysia itu sendiri tidak menganggap pasport mereka sebagai dokumen yang amat  penting dan oleh itu tidak menjaganya dengan baik. Mereka meletakkan pasport di tempat yang mudah tercicir atau mudah dicuri,” katanya.

Thailand merupakan antara destinasi pelancongan utama rakyat Malaysia dengan 3.3 juta  melawat negara ini tahun lepas menurut  Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand.

Malah, rakyat Malaysia merupakan kumpulan pelancong asing kedua terbesar melawat Thailand selepas China yang menyumbang lebih sembilan juta pelawat tahun lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata rakyat Malaysia perlu dididik untuk  melihat  pasport sebagai ‘nyawa kedua’ mereka setiap kali berada di luar negara.

Ditanya kemungkinan punca kehilangan pasport Malaysia yang tinggi di Thailand disebabkan dokumen itu menjadi sasaran sindiket penjenayah, sumber tersebut tidak boleh mengesahkan mahupun menolak  kemungkinan berkenaan.

Bagaimanapun katanya pasport Malaysia ‘amat berkuasa’ dan tidak mustahil dokumen itu menjadi buruan sindiket penjenayah terutamanya yang terlibat dalam aktiviti pemalsuan pasport antarabangsa.

Tahun lepas, The Henley Passport Index mengiktiraf pasport Malaysia sebagai antara paling berkuasa di dunia kerana pemiliknya dibenarkan memasuki 166 negara tanpa memerlukan visa.

Dalam satu temu bual dengan Bernama dua tahun lepas,  Pesuruhjaya Polis Imigresen Thailand Lt. Jen Nathathorn Proisoonthorn ketika itu mengakui  akan daya tarikan pasport Malaysia di mata sindiket pemalsuan pasport di Thailand.

Menurutnya, ini disebabkan pasport Malaysia memiliki kelebihan dan kemudahan tanpa visa yang amat diperlukan oleh pelanggan sindiket, terutamanya mereka dari negara seperti Sri Lanka, India, Bangladesh, Pakistan dan China.

Dua minggu lepas, seorang lelaki dari Sri Lanka ditahan pegawai Imigresen Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok kerana cuba menaiki penerbangan ke Perancis menggunakan pasport palsu Malaysia.

Thailand dengan industri pelancongannya yang pesat dikatakan antara pusat utama  sindiket pemalsuan  pasport dan dokumen perjalanan antarabangsa  di dunia. – Bernama

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di