Siakap Keli

(Video) Kempunan Nak Pikat Wanita Muda, Lelaki Ke Mahkamah Mahu Istihar Umurnya Muda 20 Tahun

Seorang lelaki warga Belanda yang membawa kes ke mahkamah untuk mengisytiharkan umurnya 20 tahun lebih muda, gagal berbuat demikian.

Emile Ratelband, 69, yang bertindak membuat permintaan tersebut atas alasan mahu menghapuskan diskriminasi usia dan meningkatkan peluangnya untuk menjalin hubungan dengan wanita lebih muda.

”Kita hidup di zaman di mana jantina dan nama boleh ditukar. Kenapa saya tidak boleh mengubah usia saya pula?” hujah Emile.

Dalam kes pertama kali dihadapi oleh Mahkamah Belanda, hakim menolak hujah Emile atas alasan pelbagai rekod yang disimpan oleh kerajaan mempunyai kaitan dengan umur termasuklah rekod kesihatan, jenayah dan pelbagai lagi urusan perundangan.

”Emile mempunyai hak untuk merasakan dirinya 20 tahun lebih muda dan bertindak seperti sepatutnya,” kata hakim tetapi mengubah fakta usia boleh memberi kesan yang tidak diingini terhadap ‘undang-undang dan kehidupan sosial’.

Permintaan Emile yang menggelarkan dirinya sebagai ‘jurulatih positif’ sebelum ini telah mengejutkan komuniti dunia dan menjadi tajuk utama di kebanyakan surat khabar terkemuka dunia.

Selain membawa perkara tersebut ke mahkamah, Emile turut muncul di kaca televisyen melalui sidang media bagi mendedahkan diskriminasi umur yang dialaminya.

Dia mendedahkan sering tidak dilayan wanita menerusi aplikasi Tinder sebaik sahaja dia mendedahkan usia sebenarnya, biarpun doktor-doktor yang ditemui bersetuju bahawa dia memiliki jasad seperti orang yang berusia 40 tahun.

”Jika saya berusia 49 tahun, saya mungkin mampu membeli rumah baru dan memandu kereta yang berbeza. Saya boleh bekerja untuk tempoh yang lebih lama.

”Apabila saya menggunakan aplikasi Tinder dan memberitahu saya berusia 69 tahun, tiada siapa pun mahu melayan. Sebaliknya jika saya berusia 49 tahun dengan tubuh badan sebegini, saya dikatakan seorang lelaki yang menjalani kehidupan yang kaya-raya,” katanya lagi.

Walaupun mendapat perhatian luas di media, kumpulan yang memperjuangkan hak transgender mengkritik hujah yang diguna pakai Emile mengaitkan mereka dalam hal tersebut.

Di dalam mahkamah, Emile turut membawa hujah bahawa tarikh kelahiran yang dinyatakan adalah salah, biarpun mahkamah mengesahkan dia dilahirkan pada 11 Mac 1949.

Mahkamah bersetuju dengannya bahawa umur adalah sebagaian daripada identiti peribadi, namun tidak seperti nama dan jantina, perubahan umur memberi implikasi yang jauh lebih besar.

”Banyak hak dan tuntutan terikat dengan umur..hak mengundi, hak untuk memandu, hak untuk minum minuman beralkohol,” kata mahkamah lagi.

Apa yang membimbangkan, keputusan mahkamah boleh membuka ruang untuk mana-mana individu dimasa hadapan untuk mendesak hak yang berbeza sepeti mahu disytiharkan lebih tua.

Mahkamah turut berhujah bahawa bersetuju dengan tuntutan Emile bermakna mahkamah bersetuju untuk memadam rekod 20 tahun lampau. Ia sekali gus menjejaskan semua perkara yang sudah berlaku dalam tempoh 20 tahun tersebut seperti perkahwinan dan pencapaian individu.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=tI_EzSPNNJ8]

 

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.