Siakap Keli

Melaka United Sah Ikat Safiq Rahim, Shukor Adan

Melaka United berazam mengorak langkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 apabila mendapatkan khidmat dua bekas kapten kebangsaan, Shukor Adan dan Safiq Rahim bagi memperkuatkan skuad Hang Tuah itu.

Selain itu, Melaka United turut mengikat kontrak bekas kapten Selangor, Mohd Razman Roslan serta lima lagi pemain – bekas pemain Perak, Mohd Nazrin Mohd Nawi;  R. Gopinathan (JDT), Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman (Felda United), Saiful Ridzuwan Selamat (Selangor) dan Mohd Raimi Md Nor (Pulau Pinang).

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Adly Zahari berkata kehadiran barisan pemain berpengalaman itu membuktikan keseriusan Musa membentuk gandingan terbaik di samping meningkatkan mutu persembahan Melaka United dalam saingan Liga-M musim depan.

“Usaha ini sekali gus diharap dapat menyaingi lawan dalam aksi Liga Super musim depan. Inisiatif ini membuktikan kita cuba sedaya upaya menyediakan pasukan terbaik daripada awal lagi menerusi perbincangan bersama pihak pengurusan dan saya amat berbesar hati dengan kesanggupan mereka bersama Melaka United.

“Kita yakin dengan kredibiliti ketua jurulatih bersama barisan kejurulatihan dan senarai pemain yang ada, kita mampu membentuk pasukan mantap serta mampu memberi tentangan kepada lawan nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani kontrak pemain berkenaan pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Presiden Musa, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dan Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata barisan pemain yang ada itu memperlihatkan perubahan besar dilakukan Melaka United bagi mendapatkan pemain ternama dan berkualiti bagi mencapai sasaran awal sekurang-kurangnya menduduki kelompok empat pasukan terbaik dalam kempen Liga Super.

“Dengan kemampuan pasukan yang agak kuat ini, kita juga berhasrat untuk cuba mencapai (merangkul) sekurang-kurangnya satu piala sama ada Piala FA atau Piala Malaysia musim 2019,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Melaka United menggugurkan empat pemain import manakala satu lagi kuota pemain import dari Asia, Lee Chang Hoon masih dalam perbincangan dan pemerhatian berikutan kecederaan yang membelenggu pemain berasal dari Korea Selatan itu biarpun beraksi dengan baik.

“Pada masa ini, kita melengkapkan dahulu senarai pemain tempatan dan bagi pemain import barisan kejurulatihan masih menilai pemain yang akan dibawa masuk kerana kita mahu pemain lebih baik serta berkualiti yang mampu membantu pasukan,” katanya.

Terdahulu Melaka United mengekalkan empat pemain musim lepas – Nurshamil Abd Ghani, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli, Mohd Faizal Muhammad dan Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara enam pemain lain yang dibawa masuk untuk musim depan ialah Muhamad Zharif Md Desa, Ahmad Khuzaimi Piee, S. Deevan, M. Kavishkumar, Wan Mohd Syukri Wan Ahmad, Wong Tse Yang dan Mohammad Nor Ubaidullah Abd Rahman.- Bernama

Tambah komen