Siakap Keli

Tular Dakwaan Ayam Dijual Tidak Disembelih, Ini Jawapan Dari Tesco Malaysia

Tular sejak semalam beberapa keping gambar dan klip video yang mendakwa ayam segar yang dijual oleh rangkaian pasaraya terkemuka, Tesco tidak halal kerana tidak disembelih.

Susulan dakwaan berkenaa, pihak pengurusan Tesco melalui satu kenyataan media tampil memberi penjelasan sekaligus menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial tersebut.

”Kami ingin menjelaskan bahawa di Tesco, kami sentiasa mematuhi segala kawalan kualiti dan standard produk yang amat ketat dan kami memandang serius dakwaan ini.

”Bagi memastikan produk yang dijual kepada pelanggan adalah halal, mematuhi undang-undang, selamat dimakan dan berkualiti, semua rumah sembelihan yang membekalkan ayam segar dan produk ayam kepada Tesco akan melalui proses pemeriksaan dan pengesahan berdasarkan Piawaian Tesco (Tesco Standard),” kata kenyataan itu.

Ujar Tesco lagi, semua syarikat yang membekalkan produk ayam segar kepada pasaraya tersebut perlu memiliki Sijil Halal yang sah dikeluarkan daripada Jakim/Jaim.

Syarikat-syarikat ini juga perlu mematuhi amalan kebersihan dan amalan pengilangan baik (GMP) yang sangat ketat.

”Selain itu, audit dalaman merangkumi aktiviti pemantauan akan dijalankan di rumah sembelihan untuk memastikan keseluruhan proses penyembelihan, pemprosesan, penyimpanan dan penghantaran adalah mengikuti piawaian yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berhubung isu berbangkit boleh menghubungi Tesco di talian Khidmat Pelanggan, 1300-13-1313.

BACA : McDonald’s Malaysia Terus Bantu Masyarakat, Agih Dana Lebih RM 500 Ribu Untuk Golongan Memerlukan Di Perlis

Sumber : Tesco

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.