Siakap Keli

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Pagi Ini

Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah pagi ini dengan hanya sedikit peningkatan mangsa iaitu 163 orang daripada 45 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 149 mangsa daripada 39 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga kekal empat iaitu tiga di Hulu Terengganu dan satu di Dungun.

“Jumlah mangsa bertambah di PPS Kampung Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu iaitu 64 orang (20 keluarga) berbanding 50 orang daripada 15 keluarga malam tadi.

“Dua lagi PPS di Hulu Terengganu ialah PPS di Kampung Sekayu yang menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga dan Balai raya Kampung Pelandan (22 orang daripada lapan keluarga) manakala satu PPS di Dungun iaitu di Surau Besol Lama pula menempatkan 32 orang daripada tujuh keluarga ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan hanya dua sungai di Setiu melepasi paras amaran.

Menurutnya Sungai Nerus di Kampung Langkap yang merekodkan bacaan setinggi 20.57 meter (m) melepasi paras amaran 20.25m, manakala Sungai Nerus di Kampung Bukit merekodkan bacaan 12.40m berbanding paras amaran 11.85m.

Beberapa sungai utama di daerah lain melepasi paras waspada.

Che Adam berkata ketika ini, hujan masih berterusan di beberapa kawasan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah terdedah kepada risiko banjir pada bila-bila masa. – BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di