Siakap Keli
Gambar Hiasan

Jangan Libat Anak Dalam Masalah Suami Isteri – Ketua Polis Kelantan

Suami isteri yang mempunyai masalah keluarga dinasihatkan supaya tidak melibatkan anak-anak kerana khuatir akan memberi implikasi kepada mereka, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai dua orang kanak-kanak perempuan berusia 9 dan 12 tahun di sini yang dilaporkan hilang petang semalam.

“Kita akan buka kertas siasatan bagi kes ini di bawah kes orang hilang,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Amanat dan Dialog (Sempena Lawatan dan Pemeriksaan A117) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika ibunya pulang dan melihat anaknya sudah tiada di rumah mereka di Kampung Machang Limbat, Kubang Kerian,” katanya.

Beliau berkata setakat ini polis mengesyaki kehilangan kanak-kanak itu kerana dipercayai mencari bapa mereka di negara jiran.

Hasanudin berkata, ini kali kedua kejadian sama dikatakan berlaku – kali pertama kira-kira dua minggu lepas, tetapi dua anak mereka telah pulang pada hari sama dilaporkan hilang.

— BERNAMA

Nur Farra